DUNIA
Zelensky anugerahkan Order of Liberty Ukraine kepada Presiden Poland Duda
Anugerah itu diberikan sebagai penghargaan atas "sumbangan peribadi besar" Duda dalam memperkukuh kerjasama Poland-Ukraine. - Gambar Reuters
KYIV: Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky menganugerahkan Order of Liberty negara itu kepada Presiden Poland yang akan tamat tempoh perkhidmatannya, Andrzej Duda, pada Sabtu semasa lawatan perpisahan beliau ke Kyiv, lapor agensi berita Jerman (dpa).
Menurut dekri yang dikeluarkan pentadbiran presiden di Kyiv, anugerah itu diberikan sebagai penghargaan atas "sumbangan peribadi besar" Duda dalam memperkukuh kerjasama Poland-Ukraine serta sokongan beliau terhadap kedaulatan dan integriti wilayah Ukraine.
Pertemuan itu berlangsung pada Hari Perlembagaan Ukraine. Tempoh perkhidmatan Duda akan berakhir pada 6 Ogos dan beliau akan digantikan oleh Karol Nawrocki, seorang ahli politik populis.
Duda tiba di Kyiv pada waktu pagi dalam lawatan yang tidak diumumkan lebih awal.
Rakaman di akaun X beliau menunjukkan Duda disambut oleh Menteri Luar, Andriy Sybiha sebelum bersama Zelensky meletakkan kalungan bunga di tapak peringatan askar Ukraine yang terkorban dalam peperangan menentang pencerobohan Rusia.
Duda telah berulang kali melawat Ukraine untuk menunjukkan solidariti beliau dengan negara tersebut.
Agensi berita Poland PAP memetik mesej penghargaan Sybiha kepada Duda di media sosial, dengan menyatakan bahawa beliau dan rakyat Poland sentiasa "menunjukkan solidariti sejati dengan Ukraine."
Sejak bermulanya serangan besar-besaran Rusia ke atas Ukraine pada Februari 2022, Poland merupakan antara penyokong paling aktif Ukraine.
Lapangan Terbang Rzeszow-Jasionka di tenggara Poland dan laluan kereta api yang menuju ke sempadan kedua-dua negara menjadi laluan penting untuk penghantaran barangan ketenteraan Eropah dan Amerika Syarikat ke Ukraine.
-- BERNAMA