[TERKINI] Kes Zara Qairina: JSJ Sahkan Pegawai Penyiasat Tidak Patuh SOP, Gagal Mohon Bedah Siasat – Ikuti Perkembangan Di Sini
DUNIA

Zelenskyy enggan serah wilayah Timur Ukraine kepada Rusia

Agensi 12/08/2025 | 22:40 MYT
Zelenskyy menegaskan tidak akan menyerahkan wilayah timur negaranya kepada Rusia, sambil memberi amaran melepaskan kawasan Donbas hanya akan membuka laluan kepada Putin untuk “memulakan perang kali ketiga" di Ukraine. - Gambar fail AP
KYIV: Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy menegaskan pada Selasa, beliau tidak akan menyerahkan wilayah timur negaranya kepada Rusia, sambil memberi amaran melepaskan kawasan Donbas hanya akan membuka laluan kepada Presiden Rusia, Vladimir Putin untuk “memulakan perang kali ketiga” di Ukraine.

Amaran itu dibuat menjelang pertemuan Putin dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump di Alaska pada Jumaat ini, di mana Putin dijangka menuntut tanah Ukraine sebagai sebahagian daripada perjanjian damai.

Walaupun terdapat kekeliruan berhubung syarat gencatan senjata yang dikatakan akan dikemukakan Putin, kebanyakan laporan menyebut beliau mahukan tentera Ukraine berundur sepenuhnya dari wilayah Donbas, termasuk bahagian di Donetsk yang masih dikuasai Kyiv.

“Bagi Rusia, Donbas adalah titik lonjak untuk serangan baharu di masa depan. Jika kita tinggalkan Donbas secara sukarela atau kerana tekanan, kita akan memulakan perang kali ketiga,” kata Zelenskyy dalam sidang media.

Rusia sebelum ini telah menceroboh dan mengilhak semenanjung Crimea pada 2014, sebelum melancarkan pencerobohan penuh terhadap Ukraine pada Februari 2022.

“Saya tidak akan menyerahkan negara saya kerana saya tidak mempunyai hak untuk berbuat demikian. Jika kita tinggalkan Donbas hari ini – kubu pertahanan, bentuk muka bumi, kedudukan tinggi yang kita kawal – ia jelas membuka jambatan untuk persiapan serangan Rusia,” tegasnya.

Zelensky dan pegawai tertinggi tentera Ukraine turut memberi amaran bahawa Rusia sedang mengumpulkan kekuatan untuk melancarkan serangan baharu, yang dijangka bermula selewat-lewatnya September ini.

“Saya belum mendengar walau satu cadangan pun yang dapat menjamin perang baharu tidak akan bermula esok, atau Putin tidak akan cuba menawan sekurang-kurangnya Dnipro, Zaporizhzhia dan Kharkiv,” ujarnya.

Menurut Zelenskyy, isu pertukaran wilayah adalah perkara yang sangat kompleks dan tidak boleh dipisahkan daripada jaminan keselamatan kepada Ukraine sebagai negara berdaulat.

Beliau turut menegaskan penglibatan Kesatuan Eropah (EU) dalam rundingan damai adalah penting kerana “tiada pihak selain Eropah yang memberi kami jaminan keselamatan.”

Perbincangan antara AS, Ukraine dan seluruh Eropah dijadualkan berlangsung pada Rabu, kata Zelensky.

Trump sebelum ini memberi bayangan Zelenskyy tidak akan menghadiri sidang kemuncak pada Jumaat, namun, beliau akan menghubungi Kyiv dan pemimpin Eropah lain sejurus selepas mesyuarat itu untuk memaklumkan hasil perbincangan.

Trump berkata, matlamat akhirnya adalah untuk menemukan Putin dan Zelenskyy dalam satu bilik bagi mencari jalan menghentikan perang, termasuk kemungkinan melibatkan “pertukaran tanah” antara kedua-dua pihak.

“Saya tidak akan membuat perjanjian. Itu bukan keputusan saya. Saya fikir perjanjian perlu dibuat untuk kebaikan kedua-duanya,” kata Trump.

White House menyifatkan pertemuan Trump-Putin di Anchorage nanti sebagai “latihan mendengar.”

“Hanya satu pihak yang terlibat dalam perang ini akan hadir. Jadi ini peluang untuk Presiden mendapatkan kefahaman yang lebih jelas mengenai bagaimana kita boleh membawa perang ini ke penghujungnya,” kata jurucakap White House, Karoline Leavitt.

Ketika ditanya CNN sama ada kedua-dua pemimpin itu akan mengadakan pertemuan empat mata, Leavitt mengesahkan ia “sebahagian daripada perancangan.”

Zelenskyy turut mendedahkan butiran lanjut mengenai rundingan diplomatik yang berlangsung di belakang tabir, termasuk pandangannya terhadap hasil pertemuan Utusan Khas AS, Steve Witkoff, dengan Putin.

“Witkoff berkata, mungkin perlu ada konsesi wilayah daripada kedua-dua pihak. Begitulah bunyinya. Dan Putin mungkin mahu kami meninggalkan Donbas. Jadi, ia tidak kedengaran seperti AS mahu kami berundur,” katanya.

“Saya tidak percaya cadangan Putin adalah cadangan Trump. Saya percaya Trump mewakili Amerika Syarikat. Beliau bertindak sebagai orang tengah – bukan di pihak Rusia,” kata Zelenskyy. - Agensi





#konflik Rusia-Ukraine #Volodymyr Zelenskyy #Vladimir Putin #wilayah Timur Ukraine #Donbas