DUNIA

Zelenskyy lantik ketua risikan tentera terajui pentadbiran Presiden dalam rombakan besar

Agensi 02/01/2026 | 23:30 MYT
Kyrylo Budanov bertemu Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy di Kyiv, Ukraine, ketika serangan Rusia berterusan, dalam foto yang diedarkan pada Jumaat. - Gambar Reuters
KYIV: Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy melantik Ketua Risikan Tentera, Kyrylo Budanov, sebagai Ketua Pentadbiran Presiden pada Jumaat, sambil mencadangkan pakar dron dan digitalisasi sebagai Menteri Pertahanan baharu.

Langkah itu diambil ketika Kyiv berusaha mengukuhkan kedudukan dalam rundingan yang disokong Amerika Syarikat (AS) bagi menamatkan konflik hampir empat tahun dengan Rusia.

Pelantikan Budanov, seorang veteran perang yang dihormati rakyat Ukraine menandakan perubahan besar kerana jawatan itu lazimnya diisi oleh tokoh awam yang fokus kepada politik domestik.

Zelenskyy turut mencalonkan Mikhail Fedorov – Timbalan Perdana Menteri Pertama dan Menteri Transformasi Digital – sebagai Menteri Pertahanan, menekankan kepentingan teknologi tinggi dan dron dalam usaha perang Ukraine.

Budanov, 39, menggantikan Andriy Yermak, sekutu rapat Zelenskyy yang meletak jawatan pada November selepas terpalit skandal rasuah yang mencetuskan kemarahan rakyat ketika negara berjuang menentang Rusia.

Dalam kenyataan di platform X, Zelenskyy berkata, Ukraine “perlu memberi tumpuan lebih besar” kepada keselamatan, ketenteraan dan diplomasi.

“Kyrylo mempunyai pengalaman khusus dalam bidang ini dan kekuatan mencukupi untuk mencapai hasil,” tulisnya.

Budanov dalam kenyataan berasingan berkata, beliau akan memberi fokus kepada “keselamatan strategik negara”.

Zelenskyy turut mengumumkan pelantikan Ketua Risikan Luar, Oleh Ivashchenko, sebagai Ketua Risikan Tentera baharu serta pertukaran Ketua Perkhidmatan Sempadan.

Dalam ucapannya, Zelenskyy menegaskan, kemahiran Fedorov penting untuk memastikan pertahanan yang berkesan.

“Fedorov terlibat secara mendalam dalam inisiatif ‘garis dron’ dan bekerja dengan sangat berkesan dalam pendigitalan perkhidmatan serta proses kerajaan,” katanya.

Pelantikan Fedorov perlu mendapat kelulusan Parlimen.

Beliau dijangka menggantikan Denys Shmyhal, bekas Perdana Menteri yang ditawarkan jawatan baharu. Zelenskyy memberi bayangan lebih banyak perubahan akan diumumkan.

Budanov mengetuai Direktorat Utama Risikan Kementerian Pertahanan sejak 2020 dan terkenal dengan peranan dalam operasi sulit terhadap tentera Rusia serta rundingan pertukaran tahanan perang.

Beliau juga sering muncul di media dengan gaya bersahaja dan kenyataan berlapik mengenai operasi Ukraine di dalam Rusia.

Budanov, yang terselamat daripada beberapa cubaan pembunuhan, memulakan kerjaya sebagai anggota pasukan khas dan pernah berkhidmat di timur Ukraine selepas Rusia menceroboh Crimea.

Beliau cedera sebanyak tiga kali.

Yermak, pendahulunya, digelar “kardinal kelabu” kerana pengaruh besar di belakang tabir.

Beliau meletak jawatan pada 28 November, beberapa jam selepas rumahnya digeledah ejen anti-rasuah berhubung siasatan skim rasuah bernilai AS$100 juta dalam sektor tenaga. - Agensi

#konflik Rusia-Ukraine #Volodymyr Zelenskyy #Ketua Risikan Tentera #Kyrylo Budanov