DUNIA

Zelenskyy sedia bertemu Putin secara bersemuka, cadang rundingan baharu dengan Rusia

Agensi 19/07/2025 | 23:50 MYT
Presiden Zelenskyy (kiri) mencadangkan pusingan baharu rundingan damai dengan Rusia dalam usaha menghidupkan semula proses perbincangan yang tertangguh sejak bulan lalu dan sedia bersemuka dengan Presiden Putin.
KYIV: Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy mencadangkan pusingan baharu rundingan damai dengan Rusia dalam usaha menghidupkan semula proses perbincangan yang tertangguh sejak bulan lalu.

Dalam ucapannya malam tadi, Zelenskyy memaklumkan, pegawai keselamatan kanan Ukraine, Rustem Umerov telah menawarkan untuk bertemu wakil Rusia minggu hadapan dengan matlamat utama mencapai gencatan senjata.

“Kita perlu melakukan segala yang mungkin untuk menghentikan pertempuran. Rundingan di peringkat tertinggi amat diperlukan untuk benar-benar menjamin keamanan,” kata Zelenskyy yang turut menyatakan kesediaannya untuk bertemu Presiden Rusia, Vladimir Putin secara bersemuka.

Cadangan itu dibuat hanya beberapa jam selepas serangan udara besar-besaran dilancarkan Rusia di beberapa wilayah Ukraine, mengorbankan sekurang-kurangnya tiga orang.

Menurut Zelensky, sepuluh wilayah termasuk beberapa bandar utama telah disasarkan dalam serangan antara malam Jumaat dan awal pagi Sabtu.

Tentera Ukraine melaporkan lebih 340 dron - termasuk yang bersenjata dan palsu - serta 35 peluru berpandu jenis pelayaran dan balistik digunakan dalam serangan itu.

Bagaimanapun, sebahagian besar berjaya dipintas dan dimusnahkan.

Trump beri amaran kepada Rusia, bekal senjata baharu kepada Ukraine

Awal minggu ini, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengumumkan Washington akan menghantar senjata canggih kepada Ukraine menerusi rangkaian Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).

Beliau turut memberi amaran kepada Rusia dengan mengenakan tarif berat sekiranya rundingan damai tidak dicapai dalam tempoh 50 hari.

Trump menambah, Amerika akan mengenakan tarif sekunder 100 peratus terhadap rakan dagang Rusia yang masih meneruskan urusan perniagaan sekiranya tiada penyelesaian dicapai menjelang tarikh akhir tersebut.

Rundingan terdahulu gagal capai kata sepakat

Dua pusingan rundingan yang diadakan di Istanbul antara Moscow dan Kyiv sebelum ini gagal menghasilkan sebarang kemajuan dalam usaha menghentikan peperangan.

Bagaimanapun, kedua-dua pihak bersetuju untuk melakukan pertukaran besar-besaran tahanan serta pemulangan mayat tentera yang terkorban.

Rundingan terakhir yang berakhir awal Jun lalu menyaksikan Rusia sekali lagi menolak permintaan Ukraine untuk melaksanakan gencatan senjata tanpa syarat, yang turut disokong oleh negara-negara Barat.

Sebaliknya, Moscow mengemukakan beberapa tuntutan termasuk desakan agar Ukraine menyerahkan lebih banyak wilayah dan menghentikan sebarang bentuk kerjasama ketenteraan dengan negara-negara Barat.

Ketika itu, Zelensky menuduh Rusia sengaja menyukarkan sebarang pertemuan yang berpotensi membuahkan hasil.

Rusia melancarkan pencerobohan berskala besar ke atas Ukraine sejak Februari 2022 dan kini menguasai kira-kira 20 peratus wilayah Ukraine termasuk Semenanjung Crimea yang ditawan pada 2014. - Agensi



#konflik Rusia-Ukraine #Volodymyr Zelenskyy #Vladimir Putin #gencatan senjata