INTERNATIONAL

Zelenskyy tunggu Putin di Ankara untuk rundingan gencatan senjata

Agensi 13/05/2025 | 23:20 MYT
Menurut Zelenskyy (kanan), beliau mesti berunding dengan Putin kerana hanya Presiden Rusia itu yang boleh membuat keputusan mengenai gencatan senjata. - Gambar fail
KYIV/BRUSSELS: Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy mengesahkan beliau akan berada di Ankara, Turkiye, esok (15 Mei) bagi menghadiri rundingan damai dan akan menunggu kehadiran Presiden Rusia, Vladimir Putin.

Setakat ini, Putin masih belum mengesahkan kehadirannya ke rundingan tersebut, yang turut mendapat desakan daripada Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, sebagai sebahagian daripada usaha Washington untuk menamatkan perang yang sudah berlarutan selama tiga tahun.

Bercakap kepada media di Kyiv, Zelenskyy berkata, beliau akan mengadakan pertemuan dengan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan, di Ankara dan kedua-dua mereka akan menunggu ketibaan Putin.

“Saya akan lakukan apa sahaja untuk mencapai persetujuan gencatan senjata. Saya mesti berunding dengan beliau (Putin), kerana hanya dia yang boleh membuat keputusan itu,” kata Zelenskyy.

Tambah beliau, sekiranya Putin tidak hadir, negara-negara Eropah dan AS perlu melaksanakan ancaman mereka untuk mengenakan sekatan baharu yang lebih berat ke atas Rusia.

Pentadbiran Trump sejak Januari lalu giat menekan kedua-dua pihak agar kembali ke meja rundingan, sejajar dengan janji Trump untuk menamatkan konflik sebaik dilantik sebagai presiden.

Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, dijadualkan menghadiri rundingan tersebut di Turkiye.
Dalam mas sama, Presiden Trump menyatakan keyakinannya rundingan itu mampu membuahkan hasil yang positif.

Sementara itu, para pemimpin Eropah turut memberi amaran bahawa mereka akan mengenakan sekatan besar-besaran - yang memerlukan sokongan Washington - terhadap Rusia sekiranya Putin enggan bersetuju dengan gencatan senjata selama 30 hari dalam tempoh terdekat.

Namun, Putin dilaporkan telah mencadangkan agar rundingan terus diadakan bersama Ukraine pada 15 Mei di Istanbul.

Canselor Jerman, Friedrich Merz pada Selasa mengulangi amaran sekatan dengan menegaskan, “jika tiada kemajuan nyata minggu ini, kami akan bekerjasama di peringkat Eropah untuk memperketatkan lagi sekatan.”

Presiden Perancis, Emmanuel Macron, turut menyuarakan sokongan terhadap sekatan baharu ke atas Rusia dalam beberapa hari akan datang sekiranya Moscow gagal mempersetujui gencatan senjata - dengan sektor kewangan, minyak dan gas dijangka menjadi sasaran.

16 pakej sekatan sudah dikenakan EU ke atas Rusia

Namun, menurut para diplomat, selepas 16 pusingan sekatan dikenakan oleh Kesatuan Eropah (EU) terhadap Rusia sejak tercetusnya perang di Ukraine, usaha untuk mencapai kata sepakat dalam kalangan 27 negara anggota EU kini semakin mencabar.

Hungary yang mempunyai hubungan rapat dengan Moscow sering menjadi penghalang atau melemahkan cadangan sekatan baharu.

Diplomat berkata, hanya tekanan daripada pentadbiran Trump mungkin mampu mengubah pendirian Budapest, namun tiada tanda-tanda perubahan setakat ini.

Beberapa cadangan lama seperti menurunkan had harga minyak Rusia kepada bawah AS$60 setong juga dibangkitkan semula, namun, ia memerlukan sokongan Amerika Syarikat - yang belum menunjukkan sebarang perubahan sejak dua tahun lalu.

Perang di Ukraine kini memasuki tahun keempat sejak Rusia melancarkan pencerobohan pada Februari 2022.

Penganalisis ketenteraan menjangkakan, kedua-dua pihak sedang bersiap sedia untuk kempen ketenteraan musim bunga dan musim panas, selepas lebih 1,000 kilometer garis hadapan menyaksikan perang berpanjangan yang telah meragut puluhan ribu nyawa tentera di kedua-dua belah pihak.

Institut Kajian Perang yang berpangkalan di Washington berkata, Rusia kini sedang "pantas menambah semula kekuatan unit barisan hadapan dengan rekrut baharu bagi mengekalkan inisiatif di medan perang." - Agensi









#konflik Rusia-Ukraine #Volodymyr Zelenskyy #Vladimir Putin #gencatan senjata