HARARE: Bekalan elektrik telah dipulihkan di sebahagian besar kawasan di Zimbabwe selepas kerosakan teknikal utama menyebabkan seluruh negara bergelap pada Isnin malam, menurut utiliti kuasa milik kerajaan ZESA Holdings pada Selasa, lapor Agensi Berita Xinhua.
Negara itu mengalami gangguan bekalan elektrik di seluruh negara pada pukul 6.24 petang waktu tempatan pada Isnin akibat kerosakan pada talian penghantaran 330kV Warren-Alaska di ibu negara, Harare.
ZESA menerusi platform media sosial X memaklumkan bahawa insiden itu mengakibatkan terputusnya kesalinghubungan dengan utiliti wilayah serantau jiran, sekali gus mencetuskan kegagalan sistem janakuasa tempatan.
Usaha pemulihan bermula sejurus selepas kejadian dengan bekalan elektrik diimport dari Afrika Selatan dan Mozambique, selain bekalan sedia ada daripada stesen janakuasa Kariba dan Hwange di Zimbabwe.
Menurut ZESA, bekalan elektrik telah berjaya dipulihkan di kebanyakan pusat bekalan pukal negara menjelang pukul 10.00 malam Isnin.
ZESA berkata pasukan teknikal masih menjalankan kerja-kerja memulih serta menyelaraskan baki unit di stesen janakuasa arang batu Hwange, yang merupakan penjana kuasa terbesar di negara berkenaan.
-- BERNAMA-XINHUA