Pesawat rejim Zionis dilihat semakin galak melancar serangan ke atas kawasan Palestin.

Terbaru, 10 kawasan di Gaza menjadi sasaran keganasan Israel itu.

Serangan udara itu dilancarkan awal pagi Ahad dengan alasan bagi membalas sekurang-kurangnya 29 serangan roket yang dilancarkan dari Gaza sejak minggu lalu.

Dua daripada serangan roket yang dilancarkan dari Gaza itu disasarkan di Beersheba, sebuah bandar di selatan Israel.

Israel bagaimanapun memberitahu, dua roket berkenaan berjaya dipintas sistem pertahanannya.

Serangan itu menjadikan ketegangan antara tentera rejim Israel dan rakyat Palestin semakin memuncak.

Ia sekali gus memaksa tentera rejim meningkatkan kawalan di timur Baitulmaqdis bagi mengekang kemaraan penduduk Palestin yang berang susulan kematian remaja Palestin, Mohammed Abu Khdeir yang diculik dan dibunuh baru-baru ini.

Pertempuran berlaku sejak penemuan mayat Mohammed Abu Khdeir yang didakwa dibunuh tentera Israel.

Hasil bedah siasat ke atas mayat remaja berkenaan pada Sabtu mendapati dia mati akibat dibakar hidup-hidup.

Malah, Mohammed juga dilaporkan dipukul dengan objek keras sebelum dibakar.

Mayat remaja berusia 16 tahun itu ditemui di dalam hutan pada Rabu selepas diculik dari rumahnya.

Polis Israel bagaimanapun berkeras mengatakan siasatan siapa yang membunuh remaja itu masih dijalankan.

Dalam pada itu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mempertahankan tindakan rejimnya yang melakukan serangan roket ke Gaza pada awal pagi Ahad.

Netanyahu memberi alasan serangan itu dilakukan bagi mengembalikan keamanan dan keselamatan kepada penduduk Israel.

Kenyataan itu menyusul hanya beberapa jam selepas serangan udara dilakukan ke atas penduduk Gaza.

Katanya, serangan disasarkan ke atas tentera Hamas di Gaza.

Netanyahu turut menyalahkan penduduk Palestin yang didakwa melanggar undang-undang kerana melontar batu dan bom petrol ke arah polis Israel.

Tegasnya, serangan roket ke selatan Israel adalah tindakan yang tidak dapat dimaafkan dan harus dibalas dengan serangan sama.

Malah, rejim itu turut membayangkan akan meneruskan serangan ke Gaza tanpa sebarang toleransi dan tolak ansur.