10 filem spin-off yang popular

Shamil Hizamie
Julai 10, 2015 05:36 MYT
siri francais X-Men ini memfokuskan kepada asal usul watak Wolverine sebelum muncul dalam filem pertama X-Men pada tahun 2000 dahulu. - Foto AFP Relaxnews
FILEM spin-off atau filem yang dikeluarkan sebagai sampingan kepada siri filem utama sudah menjadi kebiasaan di Hollywood.
Trend itu dilihat kian meningkat sejurus berakhirnya sesebuah siri filem popular. Filem spin-off lazimnya memfokuskan kepada satu karekter atau perkara spesifik dari keluaran asalnya.
Ketahui 10 siri filem popular yang mempunyai filem spin-off yang tersendiri.
1. Elektra
Elektra adalah filem spin-off mengenai karekter Elektra Natchios yang pernah muncul dalam filem superhero, Daredevil pada tahun 2003.
Elektra mendapat ulasan yang negatif selain kurang berjaya dari segi kutipan. - Foto YouTube
Dikeluarkan pada tahun 2005, pelakon berbakat Jennifer Garner melakonkan watak titularnya yang merupakan seorang pembunuh upahan.
2. X-Men Origins: Wolverine
Hugh Jackman kembali memegang watak Wolverine dalam filem X-Men Origins: Wolverine yang dikeluarkan pada tahun 2009.
Meskipun mendapat kritikan mengenai CGI dan kesan khas, lakonan Hugh Jackman sebagai Wolverine tetap mendapat ulasan yang baik. - Foto AFP Relaxnews
Filem kesinambungan kepada siri francais X-Men ini memfokuskan kepada asal usul watak Wolverine sebelum muncul dalam filem pertama X-Men pada tahun 2000 dahulu.
3. Minions
Filem Minions yang menemui pawagam pada 18 Jun lalu bertindak selaku spin-off dan filem perkenalan kepada karakter-karakter dalam siri filem Despicable Me.
Kelucuan Stuart, Bon dan Kevin menjadi daya penarik Minions. - Foto AFP Relaxnews
Dibintangi oleh Pierre Coffin dan Sandra Bullock, filem animasi ini mengisahkan golongan Minions sebelum mereka bertemu dengan Felonious Gru.
4. Star Wars: Antologi Han Solo
Filem ketujuh Star Wars iaitu The Force Awakens akan disusuli dengan dua filem antologi. Filem antologi kedua berkisar mengenai asal usul karekter Han Solo yang pernah dimainkan oleh Harrison Ford.
Mark Hamill, Carrie Fisher dan Harrison Ford merupakan teraju utama trilogi pertama Star Wars. - Foto AFP Relaxnews
Dijadual bakal menemui pawagam pada Mei 2018, filem itu akan ditulis oleh Lawrence dan Jon Kasdan yang pernah menulis skrip untuk filem The Empire Strikes Back dan Return of the Jedi.
5. Penguins of Madagascar
Penguins of Madagascar adalah filem susulan empat karekter penguin dari siri filem Madagascar. Jalan cerita filem animasi tahun 2014 ini bersambungan dari filem terakhir Madagascar 3: Europe's Most Wanted.
Penguins of Madagascar mendapat ulasan positif dari pengkritik profesional. - Foto Ihsan Fox
Antara selebriti yang meminjamkan suara bagi filem ini termasuklah Tom McGrath, Benedict Cumberbatch dan John Malkovich.
6. Puss in Boots
Bertindak selaku prequel dan spin-off kepada siri filem Shrek, Puss in Boots menyaksikan pengembaraan watak Puss sebelum muncul dalam filem Shrek 2 pada tahun 2004.
Antonio Banderas meminjamkan suara buat karekter Puss in Boots. - Foto AFP Relaxnews
Mengaut kutipan USD555 juta, sekuel berjudul Puss in Boots 2: Nine Lives & 40 Thieves sedang dalam pembikinan.
7. The Bourne Legacy
Jeremy Renner melakonkan watak Aaron Cross sebagai teraju utama filem The Bourne Legacy sekaligus menggantikan Jason Bourne yang pernah dilakonkan Matt Damon.
Aaron Cross (Jeremy Renner) adalah ahli program ops hitam yang keupayaannya dipertingkatkan secara genetik. - Foto AFP Relaxnews
Meskipun masih menggunakan latar cerita dan persekitaran yang sama, The Bourne Legacy dilihat sebagai satu filem spin-off berbanding sambungan.
8. Get Him to the Greek
Get Him to the Greek adalah sebuah filem komedi menampilkan karekter Aldous Snow (lakonan Russel Brand) dari filem Forgetting Sarah Marshall pada tahun 2008.
Jonah Hill dan Russell Brand sebagai Aaron Green dan Aldous Snow. - Foto YouTube
Pengarah Nicholas Stoller yang mengarahkan kedua-kedua filem memilih Jonah Hill untuk memainkan watak baru iaitu Aaron Green.
9. The Scorpion King
The Scorpion King adalah spin-off filem The Mummy Returns namun watak The Scorpion King yang dahulunya antagonis diangkat sebagai protagonis.
Dwayne 'The Rock' Johnson sebagai Mathayus dalam The Scorpion King yang dikeluarkan pada tahun 2002. - Foto YouTube
Jalan cerita The Scorpion King mengisahkan latar belakang Mathayus (Dwayne 'The Rock' Johnson) dan berlaku 5,000 tahun sebelum filem pertama The Mummy.
10. Beauty Shop
Bille Woodruff mengarahkan filem Beauty Shop yang bertindak sebagai spin-off kepada francis filem Barbershop.
Queen Latifah memainkan watak Gina, seorang pendandan rambut yang baru berpindah dari Chicago ke Atlanta. - Foto YouTube
Queen Latifah memainkan karakter Gina yang mula-mula sekali muncul dalam filem Barbershop 2: Back in Business. Beauty Shop turut dibintangi Alicia Silverstone, Andie MacDowell dan Mena Suvari.
#filem #Hollywood #minions #prequel #sekuel #spin-off #Star Wars #Wolverine