10 selebriti bakal gegar 2019: Apa kejutan Sajat tahun depan?

Madiha Abdullah
Disember 31, 2018 02:44 MYT
SAJAT (kanan) tentu sekali akan terus menjadi perhatian netizen selain Ayda Jebat (kiri) dan aktor tampan, Syafiq Kyle yang juga sentiasa menjadi perhatian dalam gelanggang seni tanah air.
TAHUN 2018 merupakan tahun cemerlang industri hiburan, khususnya industri perfileman.
Bagi pemerhati dan peminat, mereka tentunya mahukan momentum ini diteruskan. Untuk memastikan perkara itu, penggiatnya merupakan elemen paling penting untuk terus memberi warna dan rasa kepada industri.
Astro AWANI menyenaraikan 10 selebriti yang dilihat akan dan terus menyerlah pada 2019.
AYDA JEBAT
Sudah beberapa tahun dalam industri sebagai pelakon dan penyanyi, langkah Ayda Jebat nampaknya tidak pernah terhenti. Dia dilihat cukup agresif merangka kerjayanya, ditambah pula dengan sokongan kuat daripada peminat. Baru sahaja melancarkan single berjudul Temberang, tentu ramai yang tidak sabar menanti apa pula rancangan Ayda seterusnya.
SYAFIQ KYLE
Nama Syafiq boleh dikatakan lambat panas berbanding rakan-rakan lain seangkatan dengannya dalam Hero Remaja, namun Syafiq boleh berbangga dengan pencapaiannya hari ini. Biarpun popularitinya tahun ini sedikit diiringi kontroversi, pemenang Pelakon Lelaki Terbaik kategori Drama Rantaian di Anugerah Skrin baru-baru ini layak dipuji kerana sikap profesionalnya dalam menangani isu yang berbangkit.
SAJAT
Okeylah, Sajat, bagi ramai orang, bukanlah seorang artis. Tetapi dia layak berada dalam senarai ini kerana pernah mengeluarkan single. Harus diakui Sajat seorang individu yang pandai meletakkan dirinya dalam perhatian, baik untuk perniagaan mahupun mempromosi single baharu. Dan kontroversi yang sering melanda dirinya membuatkan nama Sajat laku di mana-mana sahaja. Agak-agaknya, apa lagi kejutan yang akan dilakukan Sajat pada 2019? Tentu sekali ramai yang tidak sabar untuk menantikannya.
SARAH SUHAIRI
Bermula di platform media sosial, nama Sarah menjadi sebutan selepas membuktikan kemampuannya sebagai the next big thing apabila menjuarai program Big Stage, September lalu. Satu pencapaian besar juga bagi si manis 18 tahun ini apabila salah satu lagu yang dinyanyikan dalam program itu, Ddu Ddu Ddu, meletakkan namanya tular seketika di laman sosial sehingga turut menarik perhatian penyanyi asalnya, Blackpink.
ALIF SATAR
Populariti yang dikecapi Alif seiring dengan bakat yang dimilikinya. Memulakan kerjaya sebagai penyanyi, dia kemudiannya lebih menyerlah sebagai pengacara. Penglibatan Alif dalam sukan ekstrem turut membuatkan ramai peminat mengagumi semangatnya itu. Dan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, namanya dilihat mula menjadi pilihan pengarah sebagai hero drama.
DATUK SERI SITI NURHALIZA
Tiada yang boleh diperkatakan lagi tentang penghibur kesayangan Malaysia ini. Tahun 2019 bakal menyaksikan beliau melakukan comeback besar-besaran selepas berehat seketika untuk memberi tumpuan kepada cahaya matanya, Siti Aafiyah. Konsert jelajah Siti Nurhaliza On Tour yang menelan belanja RM10 juta, akan membawa Siti Nurhaliza hingga ke Royal Albert Hall, April depan. Nampaknya saham penyanyi Anta Permana itu akan terus meningkat. Taniah dan syabas Siti Nurhaliza.
NORYN AZIZ
Diselubungi kontroversi kisah peribadi, namun Noryn membuktikan ia tidak menggugat fokusnya apabila menjuarai program Gegar Vaganza musim kelima. Pastinya ramai yang tidak sabar menunggu gandingan Noryn bersama dua lagi vocal powerhouse, Siti Sarah dan Misha Omar dalam konsert Soul Sisters yang akan berlangsung di Istana Budaya, April nanti.
ZAMANI
Satu lagi nama senior. Populariti Zamani sebenarnya tidak pernah suram, namun penyertaannya dalam Gegar Vaganza 5 membawa dirinya dikenali peminat dalam kalangan anak-anak muda. Tentunya ramai menantikan comeback Zamani bersama Slam bagi tahun 2019 ini.
ZAHIRAH MACWILSON
Pelakon ini sememangnya antara one to watch for dalam bidang lakonan. Bermula sebagai watak pembantu beberapa tahun lalu, wajah cantik Zahirah kini kerap muncul sebagai heroin drama. Khabarnya, sudah beberapa projek menanti Zahirah sepanjang 2019 ini. Oh, dan kita tentunya akan lebih kerap melihat anak gadis Zainol Macwilson ini kerana dia kini sedang hangat bercinta dengan aktor Aiman Hakim Ridza.
FASHA SANDA
Juga nama senior yang terus menjadi perhatian. Kontroversi sepanjang pembabitannya dalam bidang lakonan tidak memudarkan popularitinya. Ini mungkin dibantu bakat besar serta sikap profesional yang dimilikinya. Tahun 2019, tentu peminat setia Fasha tidak sabar menantikan saat bahagia dia bergelar isteri kepada aktor Aidil Aziz.
#2019 #Alif Satar #Fasha Sanda #Noryn Aziz #Sarah Suhairi #Siti Nurhaliza #Syafiq Kyle #tahun baru #Zahirah MacWilson #Zamani