HIBURAN

3 Pagi ERA cabar diri dalam aksi sepak takraw persahabatan bersama Anggerik Spike

Astro Awani 18/12/2025 | 05:47 MYT
Perlawanan sebagai platform untuk mengeratkan hubungan 3 Pagi ERA dengan bakat-bakat muda tempatan dalam bidang sepak takraw. - Foto ERA
KUALA LUMPUR: Barisan penyampai segmen pagi popular ERA iaitu Nabil, Azad Jasmin dan Radin baru-baru ini mencuri perhatian apabila tampil menyertai satu perlawanan persahabatan sepak takraw menentang pasukan muda bimbingan Amad Dayan yang dikenali sebagai Anggerik Spike.


Ringkasan AI
  • Penyampai segmen pagi ERA, Nabil, Azad Jasmin dan Radin, sertai perlawanan persahabatan sepak takraw menentang pasukan muda Amad Dayan.
  • Perlawanan bukan sekadar aksi sukan biasa, tetapi platform untuk mengeratkan hubungan 3 Pagi ERA dengan bakat-bakat muda tempatan dalam bidang sepak takraw.
  • Meskipun 3 Pagi ERA kalah dengan agregat 3-1, perlawanan dianggap pengalaman luar biasa yang memperkaya pengalaman penyampai dan bakat-bakat muda tempatan.


Perlawanan ini bukan sekadar aksi sukan biasa, sebaliknya menjadi platform untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara penyampai 3 Pagi ERA bersama bakat-bakat muda tempatan yang semakin menyerlah dalam arena sepak takraw. Inisiatif ini turut membuktikan komitmen pasukan ERA untuk mendekati komuniti sukan serta menyokong perkembangan atlet muda tanah air.

Nabil, Azad Jasmin dan Radin dari segmen 3 Pagi ERA menyertai perlawanan persahabatan sepak takraw menentang pasukan muda Anggerik Spike. - Foto ERA


Menurut Produser 3 Pagi ERA, Niesa Zainal, pelbagai persiapan rapi telah dilakukan sebelum perlawanan berlangsung. Antaranya termasuk sesi latihan khas bersama bekas pemain kebangsaan sepak takraw, Azlan Mubin, bagi memastikan pasukan 3 Pagi ERA benar-benar bersedia dari segi asas permainan dan teknik.

“Perlawanan ini adalah satu usaha untuk merapatkan hubungan antara penyampai 3 Pagi ERA dengan pasukan muda Amad. Kami juga mahu memastikan pasukan kami bersedia, jadi latihan bersama pemain berpengalaman memang sangat membantu,” katanya.

Perlawanan bukan sekadar aksi sukan biasa, tetapi platform untuk mengeratkan hubungan 3 Pagi ERA dengan bakat-bakat muda tempatan. - Foto ERA


Selain latihan, persiapan turut melibatkan penyediaan pakaian khas untuk perlawanan tersebut, sekali gus menambahkan semangat dan keseriusan pasukan 3 Pagi ERA dalam menyahut cabaran perlawanan.

Walaupun 3 Pagi ERA tewas kepada Anggerik Spike dengan agregat 3-1, perlawanan tersebut disifatkan sebagai satu pengalaman yang luar biasa untuk kedua-dua pasukan. Lebih-lebih lagi buat Nabil, yang mengakui ini merupakan pengalaman pertamanya bermain sepak takraw, sekali gus menjadi kenangan manis dan cabaran baharu buat beliau.

Selain latihan, persiapan turut melibatkan penyediaan pakaian khas untuk perlawanan tersebut, sekali gus menambahkan semangat dan keseriusan pasukan 3 Pagi ERA. - Foto ERA


Dalam pada itu, pihak 3 Pagi ERA turut memaklumkan bahawa mereka terbuka untuk meneruskan penganjuran atau penyertaan dalam acara-acara sukan pada masa akan datang, bergantung kepada kesesuaian masa serta permintaan daripada mana-mana pihak. Langkah ini dilihat sebagai usaha berterusan untuk mendekatkan penyampai radio dengan komuniti, di samping mempromosikan gaya hidup sihat dan semangat kesukanan.

Perlawanan persahabatan ini diharapkan dapat membuka lebih banyak peluang kolaborasi antara dunia penyiaran dan sukan, selain menjadi inspirasi kepada pendengar ERA untuk berani mencuba aktiviti baharu di luar zon selesa mereka.








#3 Pagi ERA #sepak takraw persahabatan #Amad Dayan #Anggerik Spike #Nabil #Radin #Azad Jasmin