5,500 hadir konsert amal M. Nasir di UPSI

M. Nasir melakukan persembahan sempena Konsert Amal Gendang Pati Datuk M. Nasir di Dewan Tuanku Canselor, UPSI, Tanjung Malim, malam tadi. --fotoBERNAMA
TANJONG MALIM: Alunan gendang, muzik serta sorakan peminat mengisi ruang Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) apabila lebih 5,500 penonton berhimpun menyaksikan Konsert Amal Gendang Pati Datuk Dr M. Nasir, malam tadi.
Ringkasan AI
- Konsert Amal Gendang Pati Datuk Dr M. Nasir di UPSI menarik lebih 5,500 penonton, menyelami perjalanan seni M. Nasir dan menampilkan 19 lagu ikonik dengan sentuhan kontemporari yang mempertemukan dunia akademik dan industri seni.
- Gendang Pati UPSI turut menjadi medan pembelajaran buat mahasiswa FMSP, melibatkan mereka secara langsung di pentas dan belakang tabir, dan hasil kutipan konsert akan disalurkan kepada wakaf pendidikan dan biasiswa pelajar muzik universiti.
- Konsert ini dijadikan platform kerjasama industri dan universiti, dengan melibatkan pelajar UPSI dalam persembahan seni bersama M. Nasir, memberi pendedahan industri muzik kepada pelajar dan menarik penonton dari pelbagai lokasi termasuk wakil dari luar negara.
Antara karya yang mengundang sorakan gemuruh ialah Pawana, Phoenix Bangkit, Tanya Sama Itu Hud-Hud, Langgam Pak Dogo, Melawan Arus dan Kias Fansuri, selain deretan lagu popular seperti Sentuhan Listrikmu, Rajawali Terbang Tinggi dan Yang Bertakhta Akhirnya yang dinyanyikan bersama penonton.
Lebih istimewa lagi Gendang Pati UPSI ini menjadi medan pembelajaran langsung buat mahasiswa Fakulti Muzik dan Seni Persembahan (FMSP), yang terlibat secara aktif di pentas dan belakang tabir, merangkumi aspek persembahan vokal, muzik, pergendangan, tarian serta pengurusan produksi.
Naib Canselor UPSI Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata konsert itu juga, membawa misi kebajikan apabila hasil kutipannya disalurkan kepada wakaf pendidikan dan biasiswa pelajar muzik universiti berkenaan.
"Wakaf itu bertujuan membantu pelajar muzik berbakat meneruskan pengajian, dengan kutipan kasar konsert dianggarkan sekitar RM500,000 dan kira-kira RM300,000 dijangka dimasukkan ke dalam tabung berkenaan.
"Dana itu kelak akan digunakan sebaik mungkin khususnya bagi menyokong pembangunan bakat seni di FMSP universiti ini," katanya.
Beliau berkata pemilihan seniman itu sebagai artis utama kerana keunggulan dan pengaruh beliau dalam dunia muzik tanah air, selain karya-karyanya yang sarat dengan nilai kemanusiaan, ketuhanan, kehidupan serta pengangkatan budaya dan jati diri bangsa.
"Datuk M. Nasir ialah seorang genius muzik. Lagu-lagu beliau penuh dengan makna, mengangkat budaya dan maruah bangsa.
"Sebab itulah kita memilih beliau untuk menjayakan konsert amal ini, selari dengan roh UPSI sebagai institusi perjuangan pendidikan Nusantara kerana UPSI, tempat bermulanya perjuangan kependidikan dan kemerdekaan," katanya.
Md Amin berkata konsert berkenaan turut menjadi platform kerjasama industri dan universiti apabila M. Nasir menyatakan hasrat melibatkan pelajar UPSI dalam konsert akan datang, sekali gus memberi pendedahan industri kepada pelajar FMSP.
"Inilah yang dimaksudkan bahawa industri dan universiti bergerak seiring. Dalam industri muzik, pendedahan seperti ini sangat penting. Pelajar-pelajar kita diberi peluang berganding bahu dengan tokoh-tokoh berpengalaman.
"Pelajar yang terlibat terdiri daripada FMSP UPSI, khususnya bakat-bakat terpilih yang sebahagiannya berasal daripada sekolah seni dan sekolah budaya sebelum melanjutkan pengajian di universiti ini," katanya.
Md Amin berkata konsert itu dihadiri kira-kira 5,500 penonton termasuk dari Sarawak serta luar negara, selain wakil beberapa kedutaan asing di negara ini.
"UPSI sentiasa mengalu-alukan kerjasama dengan pelbagai pihak dalam penganjuran konsert atau program bersama, bukan sahaja dalam bidang muzik, malah melibatkan sukan, kebudayaan, agama dan pembangunan bangsa," katanya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


