HIBURAN

Adele akhirnya ke layar perak, bakal bintangi filem Cry to Heaven arahan Tom Ford

Agensi 13/11/2025 | 00:00 MYT
Adele bakal melebarkan kerjaya seni sebagai pelakon menerusi filem arahan pereka fesyen dan pengarah terkenal, Tom Ford berjudul Cry to Heaven. - Gambar fail AP
NEW YORK: Penyanyi tersohor antarabangsa yang juga pemenang Grammy, Adele bakal melangkah ke layar perak menerusi filem baharu arahan pereka fesyen dan pengarah terkenal, Tom Ford berjudul Cry to Heaven.

Filem adaptasi novel Anne Rice yang diterbitkan pada 1982 itu akan diarahkan, ditulis dan diterbitkan sendiri oleh Ford.

Berlatar Itali abad ke-18, kisah fiksyen ini mengisahkan dua lelaki daripada latar berbeza – seorang bangsawan Venice dan seorang penyanyi opera yang hidup mereka saling berkait secara tidak dijangka.

Adele akan bergandingan dengan barisan pelakon ternama termasuk Nicholas Hoult, Aaron Taylor-Johnson, Ciarán Hinds, George MacKay, Mark Strong, Colin Firth, Paul Bettany, Owen Cooper, Hunter Schafer, Thandiwe Newton dan ramai lagi.

Cry to Heaven kini dalam fasa pra-produksi di London dan Rome, dengan penggambaran utama dijadual bermula Januari depan.

Filem ini dijangka ditayangkan pada musim luruh 2026.

Ford membiayai sendiri projek ini dan akan mencari pembeli selepas produksi selesai.

Ford sebelum ini mencipta nama sebagai pengarah melalui filem A Single Man (2009) yang dicalonkan Oscar, diikuti Nocturnal Animals (2016) yang memenangi anugerah juri di Festival Filem Venice.

Filem baharu ini turut menyatukan semula Ford dengan Aaron Taylor-Johnson dan Colin Firth, yang pernah membintangi karya terdahulunya.

Adele yang terkenal dengan lagu hit seperti Hello, Rolling in the Deep dan Skyfall, sebelum ini mengumumkan akan berehat daripada muzik selepas tamat persembahan residensi di Las Vegas.

“Saya tiada perancangan untuk muzik baharu. Saya mahu berehat panjang dan cuba perkara kreatif lain buat sementara waktu,” katanya pada Julai 2024. - Agensi



#Adele #Adele berlakon filem #Cry to Heaven #Tom Ford