HIBURAN

Adele bakal tampil di Super Bowl Apple Music 2026?

Astro Awani 28/09/2025 | 14:45 MYT
Pengumuman tentang persembahan Adele di Super Bowl itu mencetuskan respons yang bercampur dari para peminat muzik. - Instagram @ticktmastery
PENYANYI terkenal, Adele, dikhabarkan oleh beberapa portal hiburan antarabangsa bahawa beliau bakal tampil membuat persembahan ketika separuh masa (Halftime Show) Super Bowl Apple Music 2026, sekali gus menjadikannya antara persembahan yang paling dinanti-nantikan dalam sejarah penganjuran acara tersebut.

Dikenali dengan vokal bertenaga dan lagu-lagu balada yang abadi, Adele dijangka membawa sentuhan magis yang berbeza ke pentas terbesar sukan Amerika itu.

Bagaimanapun, belum ada sebarang pengumuman rasmi mengenainya, lebih-lebih lagi Adele sebelum ini pernah menyatakan bahawa beliau menolak tawaran seumpamanya pada tahun 2016.

Banyak portal hiburan turut melaporkan, sesi perbincangan mengenainya masih lagi berlangsung, dan "masih ada kemungkinan" ia menjadi kenyataan.

Jika khabar ini disahkan, ini merupakan kali pertama beliau membuat persembahan di Super Bowl, dan para peminat sudah mula berteka-teki mengenai senarai lagu yang bakal dipersembahkan.

Reaksi yang bercampur menyambut khabar tersebut. Di akaun Instagram @ticketmastery, ramai yang teruja dan tidak sabar menanti pertunjukan tersebut, namun tidak kurang juga yang mempertikaikan pemilihan Adele.

"Saya menyukai Adele, tapi saya harap ini tidak benar. Muzik Adele bukan material untuk pertunjukan separuh masa. Kita semua akan menangis semasa waktu rehat separuh masa itu," komen seorang dengan akaun @ashhsmashh.

"Harap berita ini tidak betul. Ia akan menjadi 'halftime' paling sedih," kata @sherry61974, merujuk kepada identiti lagu-lagu Adele yang kebanyakannya melankolia.

Peluang menjayakan persembahan separuh masa Super Bowl dianggap suatu yang bermakna bagi seseorang penghibur, kerana ia bukan sekadar pertunjukan biasa.

Ia diangkat sebagai acara seni yang besar, dengan menawarkan penyanyi berkenaan publisiti dan pendedahan global yang luas. Pertunjukan itu bukan sahaja mencetus tumpuan peminat industri muzik, malah melonjakkan pelaburan pengiklanan dan tontonan terhadap acara itu sendiri.

Penghibur yang terpilih menjayakannya disifatkan sebagai penerus tradisi dari legasi nama-nama besar yang pernah mengisi slot pertunjukan tersebut, antaranya seperti Michael Jackson, Prince, Madonna, U2, Lady Gaga, Rihanna, Paul McCartney dan Beyonce.




#Adele #penyanyi #NFL #Amerika Syarikat