Afdlin Shauki kehilangan ayah, catatan di Instagram undang sebak

Astro Awani
Ogos 11, 2020 04:25 MYT
Allahyarham Aksan Abu Bakar yang juga ayah Afdlin Shauki meninggal dunia pada pukul 2.57 pagi tadi di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia, Kuala Lumpur. - Gambar Instagram AFDLIN SHAUKI
BIAR secekal mana sekalipun jiwa seseorang itu, air mata dan kesedihan tetap tidak disembunyikan apabila berhadapan dengan kematian orang tercinta.
Demikian juga dengan apa yang dilalui artis ternama tanah air, Datukl Afdlin Shauki yang kehilangan bapanya.
Coretan panjang lebar Afdlin mengenai pemergian ayahnya, Aksan Abu Bakar di laman sosial Instagram peribadinya jelas menterjemahkan betapa seniman berjiwa besar itu benar-benar terkesan dengan berita duka itu.
Afdlin, 49, memohon kepada semua kenalan agar sama-sama mendoakan roh Allahyarham bapanya dirahmati dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman.
Allahyarham Aksan menghembuskan nafas terakhir pada pukul 2.57 pagi Selasa di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) Cheras.
“Senyuman terakhir papa yäng tak habis -habis membuat orang berasa tenang dan ceria. Tiada lagi Aksan bin Abu Bakar. Bapa kepada 10 orang anak. Suami kepada dua orang isteri. Bapa ku yg tercinta.
"Dia berpesan kepadaku yang dia meminta maaf dan ampun ke atas segala kesalahan yang pernah beliau lakukan kepada sesiapa yang mengenali beliau. Tolong ampunkan ye.. please!
"Beliau juga memaafkan semua orang dan juga berkata yang beliau tidak ada rasa dendam atau sakit hati dgn sesiapa. Ya Allah kau ampunilah dosa-dosa beliau dan terimalah amalan dan kebaikan beliau. Tempatkanlah roh beliau di kalangan roh-roh orang yang beriman. Al-fatihah. I love you papa,”tulis Afldin.
Nota kesedihan yang dimuat naik Afdlin di akaun media sosialnya itu turut mengundang rasa sebak dalam kalangan sahabat-sahabat artis itu.
Antaranya pelakon tekenal Ashraf Muslim yang menitipkan doa semoga Allahyarham bapa Afdlin ditempatkan dalam kalangan orang beriman.
"Innalillahiwainnahirojiun... Takziah dan bersabarlah kekandaku.. Semoga Allah tempatkan allahyarham ayahanda abg akan ditempatkan di tempat yang ‘special’ di alam barunya bersama org-org yg beriman.. InsyaAllah.. amin”,” tulis Ashraf.
Bagi pelakon dan penyanyi Erra Fazira selain mengucapkan takziah pada sahabatnya, artis berkenaan turut mendoakan Allahyarham Aksan ditempatkan dalam kalangan hamba Allah yang beriman.
Selain itu, rakan-rakan seperjuangan Afdlin seperti Datuk Hans Isaac, Khir Rahman, Alif Sattar dan ramai lagi turut menulis salam takziah buat beliau.
#Afdlin Shauki #Aksan Abu Bakar #ayah #Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia #HUKM #meninggal dunia