HIBURAN

Afgan tepati janji, tampil intim dalam Retrospektif Showcase

Bernama 06/12/2025 | 06:30 MYT
Dihadiri hampir 3,000 peminat, Afgan membawakan 25 lagu hit termasuk 10 karya baharu daripada album terkininya Retrospektif. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Menepati janjinya untuk tampil lebih intim dengan peminat, penyanyi popular Indonesia Afgan kembali menghangatkan Kuala Lumpur menerusi Afgan Retrospektif Showcase di Zepp Kuala Lumpur, di sini malam tadi, dengan persembahan santai yang membuatkan penonton seolah-olah berada dalam "jam session" di ruang tamunya.


Ringkasan AI
  • Afgan mengadakan Afgan Retrospektif Showcase di Zepp Kuala Lumpur dengan konsep santai seperti -jam session-, dihadiri hampir 3,000 peminat dan membawakan 25 lagu termasuk 10 karya baharu daripada album Retrospektif.
  • Malaysia menjadi lokasi terawal mendengar album baharu Afgan secara langsung, malah persembahan turut diserikan dengan kehadiran ibu bapanya dan interaksi mesra bersama peminat seperti berswafoto dan memenuhi permintaan lagu.
  • Pertunjukan berdurasi dua setengah jam penuh energi menampilkan rangkaian lagu popular serta penghormatan kepada Datuk Sheila Majid, menjadikan malam itu momen istimewa dan sukar dilupakan peminat.


Dihadiri hampir 3,000 peminat, penyanyi kelahiran Jakarta, Indonesia itu membawakan 25 lagu hit termasuk 10 karya baharu daripada album terkininya Retrospektif, yang dilancarkan bulan lepas.

Membuka pentas tepat 8.30 malam dengan Misteri Dunia, Afgan, 36, kemudian menyapa penonton sambil meluahkan keterujaannya kembali ke Kuala Lumpur.

"Hello Malaysia, apa khabar, Assalammualaikum... Welcome to Afgan Retrospektif Showcase. Terima kasih guys for being here. It means a lot to me. I love you guys so much. My Malaysia fans are the best," katanya disambut sorakan gemuruh peminat.

Persembahan bersempena dengan album baharunya itu menjadikan Malaysia antara lokasi terawal yang mendengar lagu-lagu baharu tersebut secara langsung.

"Retrospektif adalah album Indonesia pertama saya selepas tujuh tahun... seronoknya dapat kembali ke sini. Saya akan nyanyikan kesemua lagu dalam album terbaharu saya malam ini, buat kali pertama di Kuala Lumpur... di Jakarta pun belum ada. So you get the premiere of the album. That's how you are special to me," katanya.

Dengan iringan kumpulan pemuzik Gandarians, persembahan malam itu diteruskan dengan rangkaian lagu seperti Silakan, Pesan Cinta, Wajahmu Mengalihkan Duniaku dan Sebentar.

Persembahan bersempena dengan album baharunya itu menjadikan Malaysia antara lokasi terawal yang mendengar lagu-lagu baharu tersebut secara langsung. - Foto Bernama


Kali pertama tampil di Zepp Kuala Lumpur, Afgan mengakui menyukai suasana malam itu sambil beberapa kali mengucapkan terima kasih kepada penonton yang datang dari seluruh negara dan Singapura. Persembahan turut menjadi lebih bermakna apabila ibu bapanya, Loyd Yahya dan Lola Purnama, hadir memberikan sokongan.

Walaupun dalam suasana relaks, kekuatan vokalnya tetap menyerlah. Bahkan ketika duduk sekalipun, Afgan masih mampu menyampaikan lagu The One That Got Away, Entah dan Kunci Hati dengan baik.

Seiring dengan konsep persembahan yang dekat dengan peminat, Afgan menyerlahkan kemesraan ketika melayan pelbagai permintaan penonton, dari berswafoto, membaca kad ucapan sehinggalah menyanyikan lagu pilihan seperti Ada dan Pendam.

Beliau turut menghiburkan peminat dengan seleksi lagu Terima Kasih Cinta, Tak Ada Rencana (Kujatuh Cinta), Knock Me Out dan Masa Iya.

Selepas berehat seketika, Afgan kembali menghidupkan pentas menerusi Dia Dia Dia, Kepastian dan Bukan Cinta Biasa, sebelum memberikan penghormatan kepada Datuk Sheila Majid dengan menyanyikan Ku Mohon.

"Masih semangatkah semua? Kita nyanyi sama. It was fun. Semoga tahun depan menjadi lebih baik lagi untuk semua," katanya.

Momentum meningkat apabila penonton hampir tidak berhenti menyanyi bersama-sama, mendendangkan rangkaian lagu Kacamata, Jodoh Pasti Bertemu, Untukmu Aku Bertahan, Setia Menunggu dan Ku Dengannya Kau Dengan Dia.

Pertunjukan hampir dua setengah jam itu berakhir dengan deretan lagu kegemaran ramai termasuk Peluk, Sampai Jumpa, Bawalah Aku Pergi, Lenggang Puspita dan Panah Asmara.

Sepanjang persembahan, Afgan tampak selesa menguasai pentas, bergerak lincah sambil berinteraksi dengan penonton. Malah, tenaganya yang konsisten memberikan nuansa persembahan yang segar dan menjadikannya antara momen yang sukar dilupakan peminat.

"Melihat wajah kalian saya tersentuh. Mendengar kalian menyanyi bersama, saya juga tersentuh. Semoga saya dapat terus menyanyi untuk teman-teman semua hingga akhir hayat. Thank you so much," katanya sebelum meninggalkan pentas kira-kira 11 malam.

-- BERNAMA








#Afgan Retrospektif Showcase #penyanyi popular Indonesia #Terima Kasih Cinta #Kacamata