KUALA LUMPUR: Daripada 605 pencalonan yang dikemukakan kepada pengurusan Anugerah Industri Muzik 23 (AIM23), hanya 105 sahaja layak dan tersenarai dalam Top 5 pelbagai kategori untuk edisi kali ni.

Kesemua karya yang layak bertanding berdasarkan hasil karya masing-masing untuk penerbitan lagu dan album bermula 1 Januari 2021 hingga 30 Jun 2022.

Antara barisan penyanyi yang disenaraikan Top 5 ialah Syamel, Ernie Zakrie, Aina Abdul, Idayu, Marsha Milan, Shila Amzah, Sonaone dan Dayang Nurfaizah.

Menurut Pengerusi RIM dan Jawatankuasa Penganjur AIM23, Roshim  Hashim, pada edisi kali ini, kategori Anugerah Lagu India Tempatan Terbaik terpaksa digugurkan.

“Untuk kategori Lagu India Tempatan Terbaik digugurkan disebabkan tidak memenuhi kriteria ditetapkan.

“Ia sekali gus menyaksikan tidak mencukupi untuk menduduki Top 5 dalam kategori tersebut,” katanya dalam sidang media kedua AIM23 di ibu negara, hari ini.

Sementara itu, juri-juri profesional muzik dilantik bagi memilih senarai Top 5 pula antaranya ialah LY, Fauzi Marzuki dan Datuk Acis.

Saksikan AIM23 11 September ini pada pukul 9 malam yang akan disiarkan secara langsung di saluran Astro Ria.