HIBURAN
AIM24: Aina Abdul menang besar, anggap Siti Nurhaliza titik tertinggi dalam kerjaya

Menurut Aina, kemenangan pada AIM24 adalah sesuatu yang amat istimewa kerana ia antara anugerah yang paling diidam-idamkan dalam hidupnya. - Foto Bernama
BENTONG: Penyanyi bersuara emas Aina Abdul mencatat sejarah peribadi apabila mendominasi Anugerah Industri Muzik ke-24 (AIM24) dengan memenangi empat kategori utama, sekali gus mengukuhkan statusnya sebagai ikon baharu industri muzik tanah air.
Ringkasan AI
- Aina Abdul mencatat sejarah peribadi di AIM24 dengan memenangi empat kategori utama termasuk Vokal Wanita Terbaik, Lagu Pop Terbaik, Lagu Terbaik dan Rakaman Album Terbaik.
- Kejayaan lagu "Jangan Mati Rasa Itu" dan album "Imaji Deluxe Edition" mengukuhkan status Aina sebagai ikon baharu muzik tanah air, yang turut menjadikan Siti Nurhaliza sebagai inspirasi kerjayanya.
- Anugerah Sri Wirama diberikan kepada Siti Nurhaliza, manakala Faizal Tahir turut meraih empat trofi termasuk Lagu Nasyid Terbaik dan Lagu Perpaduan Terbaik.
Mengulas kejayaan itu, Aina berkata perjalanan seninya banyak dipengaruhi oleh Biduanita Negara Datuk Seri Siti Nurhaliza Taruddin, yang menjadi idolanya sejak di bangku sekolah menengah.
"Saya terlalu mengagumi dan meminati kerjaya Datuk Seri Siti Nurhaliza, hinggakan ibu saya mengambil keputusan untuk menghantar saya ke kelas vokal seawal usia 15 tahun kerana ingin menjadi sepertinya (Siti Nurhaliza), sampailah masuk kolej.
"Bagi saya, Datuk Seri Siti Nurhaliza adalah antara titik tertinggi dalam hidup dan kerjaya saya," katanya kepada Bernama selepas majlis anugerah yang berlangsung di Arena of Star, Genting Highland di sini malam tadi.
Menurut pelantun lagu Puas Sudah itu lagi, kemenangan pada AIM24 adalah sesuatu yang amat istimewa kerana ia antara anugerah yang paling diidam-idamkan dalam hidupnya.
"Ini memang antara anugerah yang saya tunggu kerana selain Anugerah Juara Lagu (AJL), AIM juga dianggap antara yang paling ikonik di Malaysia. Saya memang mengimpikan untuk menggenggam anugerah ini kerana saya rasa ini adalah mikrofon saya.
"Kemenangan ini juga menjadi penguat semangat terbaharu untuk saya terus berkarya, saya benar-benar tidak menyangka lagu Jangan Mati Rasa Itu dipilih kerana ia sangat bermakna dalam hidup saya. Namun, pada masa sama saya juga berasakan lagu-lagu lain yang bertanding hebat-hebat belaka, jadi kemenangan ini memang luar biasa," katanya.

Acara kemuncak pada malam itu adalah penganugerahan Anugerah Sri Wirama kepada penyanyi nombor satu negara Siti Nurhaliza. - Foto Gempak
Dalam pada itu, Album Belagu 2 terbitan komposer terkenal Aubrey Suwito dinobatkan sebagai Album Terbaik, selain turut meraih kemenangan dalam kategori Susunan Muzik Terbaik menerusi lagu Rindu Menyapa.
Turut mencuri tumpuan, Faizal Tahir menggenggam empat trofi apabila dinobatkan sebagai pemenang Vokal Duo/Kolaborasi Terbaik bersama Datuk M. Nasir menerusi lagu Campak Bintang, selain meraih kejayaan dalam kategori Lagu Nasyid Terbaik menerusi Biar Satu Dunia Tahu (bersama Mirwana), Lagu Perpaduan Terbaik (Bendera) serta Lagu dengan Hasilan Video Tertinggi di TikTok (Santai).
Acara kemuncak pada malam itu adalah penganugerahan Anugerah Sri Wirama kepada penyanyi nombor satu negara Siti Nurhaliza sebagai penghargaan atas sumbangannya lebih dua dekad dalam industri muzik tanah air.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami