FILEM ‘Hustlers’ yang dibintangi pelakon terkenal, Jennifer Lopez (J Lo) telah diharamkan tayangannya di Malaysia kerana banyak adegan lucah yang keterlaluan dimainkan dalam filem itu.

Lembaga Penapis Filem (LPF) tidak meluluskan tayangan filem itu selepas mendapati ia tidak bersesuaian untuk dipaparkan dalam konteks Malaysia.

Filem lakonan J Lo itu turut diharamkan kerana memaparkan aksi penari tiang yang mengghairahkan.

Pengharaman filem itu juga telah disahkan oleh Square Box Pictures, syarikat pengeluar filem itu menerusi media sosial.

Buat masa ini, filem 'Hustlers' sedang menaiki tangga carta 'Box Office' di Amerika Syarikat dan United Kingdom sejak ditayangkan pada 7 September.

Filem yang turut dibintangi oleh Constance Wu, Julia Stiles, Lizzo dan Cardi B itu adalah berdasarkan kisah benar dan telah diinspirasikan oleh 'New York Magazine' yang menjadi tular pada 2015.

Plot penceritaan itu adalah berkisahkan tentang jaringan jenayah sekumpulan wanita yang menggoda mangsanya dengan meletakkan dadah ke dalam minuman dan kemudian mengajak mereka berkunjung ke kelab tarian bogel.

Para pelanggan yang terdiri daripada pedagang saham atau ketua pegawai eksekutif yang khayal itu kemudiannya akan dikenakan caj melalui kad kredit mereka dengan bayaran yang tinggi.

Walaupun terdapat pelbagai respons, lakonan Jennifer sebagai Ramona tetap dipuji dan disebut-sebut sebagai pencabar anugerah Oscar tahun depan.

Awal tahun ini, beberapa adegan seks ‘gay’ dalam filem Rocketman telah ditapis di Malaysia sebelum penayangan filem berkisahkan penyanyi British terkenal, Elton John.