AKTOR Paul Grant yang pernah membintang filem sains fiksyen popular Star Wars dan Harry Potter dilaporkan meninggal dunia di London. Mendiang berusia 56 tahun.

Grant ditemui di luar stesen keretapi bawah tanah King’s Cross di bandar London pada Khamis petang, lapor agensi berita Anadolu.

“Saya patah hati … tiada wanita yang sepatutnya berdepan dengan kehilangan bapa kesayangan. Beliau cukup dikenali dan disanjung kerana kerjayanya. Beliau meninggalkan kami begitu awal,” kata anak Grant, Sophie Jayne, dipetik portal berita Sky News.

Grant disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 3.29 pagi, Selasa, selepas pakar perubatan mengesahkan organ utamanya gagal berfungsi. 

Jurucakap perkhidmatan ambulan London dipetik berkata, mereka menerima panggilan pada petang Khamis selepas menerima laporan satu kejadian di stesen St. Pancras, Euston Road.

“Kru kami bergegas ke lokasi kejadian, merawat individu berkenaan dan terus mengejarkan beliau ke hospital,” kata jurucakap berkenaan.

Grant sinonim dengan watak Ewok dalam Return of the Jedi, mahkluk goblin dalam siri adaptasi popular Harry Potter and The Philosopher’s Stone. Beliau juga pernah membintang filem Labyrinth pada tahun 1986 dan Willow (1988).