SHAH ALAM: Peserta All Stars Gegar Vaganza (ASGV), Ayai harus mengucapkan selamat tinggal selepas tiada lagi lagu yang dikeluarkan untuknya.

Ayai gagal menambat hati juri menerusi persembahan lagu Pusara di Lebuh Raya nyanyian asal Ekamatra apabila hanya mendapat 53 peratus markah daripada juri tetap.

Juara Gegar Vaganza musim pertama itu berada di tangga tiga terbawah bersama Noryn Aziz (60.75%) dan Zamani (53.75%)

Pada masa sama, konsert kelima ASGV menyaksikan Liza Hanim terus unggul berada di tangga lima teratas sekali gus juara untuk minggu ini dengan markah 70.50 peratus.

Selain Liza, Naiqu dan Jaclyn Victor turut berada di tangga tiga teratas masing-masing dengan markah 69.75 dan 69 peratus.

Kesemua peserta yang masih kekal diadili oleh juri tetap iaitu Hetty Koes Endang, Datuk Syafinaz Selamat dan Datuk Ramli M.S selama 12 minggu.

Untuk minggu keenam 12 peserta yang tinggal akan menyampaikan lagu bertemakan No Retreats No Surender.

Juara tahun ini akan membawa pulang wang tunai berjumlah RM200,000 beserta trofi dan akan berentap di pentas akhir yang berlangsung di Axiata Arena Bukit Jalil.

All Stars Gegar Vaganza yang dihoskan oleh Nabil Ahmad dan Jihan Muse bersiaran secara langsung dari Auditorium MBSA, Shah Alam selama 12 minggu.

Untuk pilihan lebih fleksibel, ia boleh distrim melalui platform On Demand menerusi Astro Box dan aplikasi Astro GO.