[TERKINI] Krisis Iran-Israel Meluas | Serangan AS ke Tapak Nuklear Cetus Kebimbangan Global – Ini Apa yang Kita Tahu Setakat Ini
ENTERTAINMENT

Along Cham mengaku ada lafaz cerai kali kedua terhadap isteri

Sinar Harian 08/05/2025 | 09:13 MYT
Along ketika di Mahkamah Rendah Syariah Sepang hari ini. - Gambar/ Sinar Harian
SEPANG: Pelawak, Along Cham memberitahu Mahkamah Rendah Syariah di sini pada Khamis bahawa, dia pernah melafazkan talak satu terhadap isterinya, Afreena Suhaimi, pada 18 Jun tahun lalu.

Ringkasan AI
  • Along Cham melafazkan talak satu terhadap isterinya, Afreena Suhaimi, pada 18 Jun tahun lalu kerana mendakwa Afreena melakukan pelbagai penipuan termasuk melibatkan ahli keluarganya.
  • Selepas talak pertama, mereka rujuk semula, tetapi selepas Afreena didakwa mengulangi kesalahan, Along melafazkan cerai taklik buat kali kedua. Afreena menafikan berlaku rujuk kali kedua, didakwa menyebabkan kes ini berlanjutan.
  • Kes pengesahan lafaz cerai taklik ini berlanjutan di Mahkamah Rendah Syariah, dengan kedua-dua pihak melantik peguam syarie untuk mengendalikan kes tersebut.

Along atau nama sebenar Muhammad Nizamudin Ahmad, 42, selaku plaintif berkata, perkara itu dibuat kerana mendakwa Afreena selaku defendan melakukan pelbagai penipuan termasuk melibatkan ahli keluarga pelakon itu.
Menurutnya, talak dijatuhkan ketika mereka berada di rumah kelamin di Cyberjaya, pada jam 6 petang.
“Setiap kali kesalahan terbongkar, dia mendesak saya ceraikannya, malah dia minta untuk berpisah lebih daripada 10 kali.
“Ketika itu terlalu banyak penipuan dan desakan berlaku, jadi saya cakap “aku ceraikan kau Afreena binti Suhaimi dengan talak satu”,” katanya.
Bagaimanapun, bekas penyampai radio itu berkata, selepas dipujuk dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan, mereka akhirnya rujuk semula sebagai suami isteri.
Ketika itu katanya, lafaz rujuk dibuat di hadapan Afreena sendiri dengan perkataan “ok, kita rujuk”.
Menyentuh cerai taklik, pelakon ini berkata, selepas isterinya mengulangi kesalahan sama, dia mengambil keputusan untuk melafazkan cerai taklik buat kali kedua.
Malangnya dia berkata, tindakan Afreena menafikan berlaku rujuk kali kedua pada 29 Jun tahun sama menyebabkan kes ini berlanjutan sehingga ke hari ini.
Dia juga mendakwa Afreena berbohong dan cuba untuk melengah-lengahkan proses pengesahan cerai tersebut.
Mengulas lanjut, Afreena, 32, menafikan cuba untuk melambat-lambatkan proses berkenaan.
Menurutnya, jika cerai dibuat tanpa rujuk, ia menunjukkan sesuatu perkahwinan itu telah berakhir.
“Saya tak tahu sangat hukum ini, tapi adakah tindakan saya ini, cuba melengah-lengahkan kes atau mempercepatkan lagi prosesnya?
“Kalau boleh, saya tak mahu ulas mengenai isu rujuk secara umum, kerana ia terlalu sensitif untuk dikongsikan.
“Tidak kiralah rujuk lisan atau batin, bagi saya biar mahkamah tentukan ia sah atau sebaliknya,” katanya.
Sementara itu, peguam syarie, Mohamad Iezwan Ielias yang mewakili Afreena berkata, dalam keterangan sebelum ini, tidak berlaku isu rujuk, namun setelah pihak plaintif melantik peguam, barulah fakta baharu terbabit ditimbulkan.
“Ditambah pula kes hari ini agak banyak, maka kes kami terpaksa disambung pada 1 dan 3 Julai depan.
“Jelas tiada usaha untuk melengah-lengahkan atau mahu memanjangkan kes,” katanya.
Dalam prosiding ini, Along telah melantik peguam syarie, Muhammad Akmal Amzan untuk mengendalikan kes pengesahan lafaz cerai taklik itu.
Pada 10 Mac lalu, Hakim Syarie, Muhamad Nazri Basrawi mengarahkan pelawak itu melantik peguam syarie bagi mengendalikan kes itu, selepas mendapati terdapat kesilapan dalam dokumentasi difailkan plaintif.
Sebulan sebelum itu, pada 10 Februari, Muhammad Nizamudin memfailkan permohonan lafaz cerai taklik terhadap Afreena selaku defendan.
Dia memberitahu, pengesahan berkenaan sepatutnya dibuat pada 16 Disember tahun lalu, namun tertangguh selepas ditahan oleh pihak polis kerana didakwa memiliki ganja pada 14 Disember.
Muhammad Nizamudin memaklumkan isterinya telah melanggar tiga perjanjian taklik, antaranya tidak patuh dan membelakangkan suami.
Sebelum ini, pelakon filem 'Bro, Nampak Motor Gua?' itu mendirikan rumah tangga dengan bekas Bintang Akademi Fantasia musim keempat (AF4) iaitu Zila Seeron, pada 23 Januari 2010.
Bagaimanapun rumah tangga yang dibina tidak bertahan lama apabila mereka bercerai pada 13 Ogos 2016 dan hasil perkahwinan mereka dikurniakan seorang anak Ahmad Daniel Muhammad Nizamudin, 14 tahun.
Selepas lapan tahun menduda, Along mendirikan rumah tangga dengan Afreena pada 4 April 2024 namun tidak dikurniakan cahaya mata. - Sinar Harian
#Along Cham #kes cerai #Afreena Suhaimi #kes penipuan