Amber Heard setuju bayar AS$1 juta, selesai saman fitnah terhadap Johnny Depp

Astro Awani
Disember 19, 2022 23:40 MYT
Amber Heard ketika memberi keterangan terhadap bekas suaminya Johnny Depp di Mahkamah Fairfax County pada 16 Mei 2022. -Gambar fail/Reuters
PELAKON Amber Heard bersetuju untuk membayar bekas suaminya Johnny Depp AS$1 juta (kira-kira RM4.43 juta) sebagai penyelesaian dalam kes saman fitnah mereka.
Heard, 36, bagaimanapun berkata keputusan itu "bukan tanda bersetuju".
Dalam kenyataannya pada Isnin, pelakon Aquaman itu berkata dia membuat pilihan itu setelah "hilang kepercayaan terhadap sistem perundangan Amerika Syarikat".
Pada Jun, juri mahkamah Virginia mendapati Heard telah memfitnah Depp, 59, dalam sebuah artikel di mana dia mendakwa dirinya mangsa penderaan bekas suaminya itu.
Awal bulan ini, Heard memfailkan rayuan dalam kes itu, meminta keputusan juri diketepikan atau mengharungi perbicaraan semula.
"Walaupun rayuan saya di AS berjaya, keputusan terbaik ialah perbicaraan semula.
"Saya tidak boleh melaluinya," kata Heard.
Depp menyaman bekas isterinya itu susulan artikel yang diterbitkan di akhbar Washington Post, di mana Heard menggambarkan dirinya sebagai "tokoh awam mewakili penderaan rumah tangga".
Heard memfailkan saman balas.
Perbicaraan enam minggu yang disiarkan di televisyen itu menarik perhatian ramai pihak.
Pasangan itu telah berkenalan pada 2009 ketika penggambaran filem "The Rum Diary'; sebelum bertunang pada 2014 dan berkahwin setahun kemudian.
Perkahwinan mereka bagaimanapun hanya bertahan selama 15 bulan sebelum bercerai pada 2017.
Depp dalam keterangannya menafikan dakwaan bekas isterinya yang mendakwa dia punca Heard mengalami penderaan emosi, fizikal dan seksual.
Keputusan juri akhirnya berpihak kepada Depp, dan Heard diarah membayar ganti rugi $15 juta (kira-kira RM66 juta) kepada bekas suaminya itu.
Pada Isnin, peguam Depp dalam satu kenyataan berkata mereka gembira untuk "secara rasmi menutup kes yang menyakitkan ini".
Pelakon itu juga akan menyumbangkan wang penyelasaian AS$1 juta ini kepada beberapa badan amal.
#Johnny Depp #Amber Heard #saman fitnah #AS 1 juta