HIBURAN

Amira Othman: Rezeki yang tertulis

Sinar Harian 29/06/2025 | 02:00 MYT
Amira masih sama seperti dahulu, sopan dan merendah diri. - Foto Sinar Harian
DALAM dunia hiburan, tidak semua bunga berkembang dengan cara yang sama. Ada yang mekar tiba-tiba lalu layu dalam diam. Ada pula yang tumbuh perlahan, namun akarnya kuat mencengkam tetap berdiri walau ditiup angin pujian dan badai kecaman.

Ringkasan AI
  • Perjalanan seni Amira Othman perlahan tetapi konsisten Walaupun tidak muncul secara mendadak, Amira kekal aktif dengan karya berkualiti, termasuk lagu terbarunya *Dalam Sujudku* yang kembali dikenali selepas tular dalam drama *Dia Bukan Syurga*.
  • Disokong oleh Fattah Amin Amira mengakui pernah menumpang populariti Fattah dan kini bekerjasama dengan pengurusannya untuk menjayakan showcase solonya yang pertama, walaupun hubungan mereka kekal profesional.
  • Ingin beri manfaat melalui seni dan kehidupan Amira berharap agar setiap karya dan perkongsiannya memberi kebaikan kepada orang lain, selari dengan cita-cita menjadi insan lebih baik setiap tahun.

Amira Othman tahu, dia bukan bunga yang tumbuh dalam sorotan tetapi dia tetap mekar, setia menapak walau perlahan. Satu demi satu. Dan kini, apabila namanya kembali disapa angin industri, apabila suaranya kembali bergema melalui lagu, dia tahu semua itu bukan semata-mata kerana wajah atau suara.
Ia adalah rezeki dari langit yang turun perlahan melalui jalan-jalan yang barangkali tidak disangka. Salah satunya, hadir dalam bentuk seorang ‘rakan sekerja’ - Fattah Amin.
“Saya tidak nafikan. Daripada awal kemunculan bersama Fattah, memang saya menumpang populariti dia, tetapi saya percaya juga semua rezeki datang daripada ALLAH dan saya harus beringat bahawa ALLAH boleh memberi dan menarik rezeki yang diberikan-NYA.
“Ikutkan nama saya masih kecil dalam industri, mudah-mudahan orang lebih kenali saya sebagai penyanyi, termasuk dengan karya-karya berkualiti dari saya,” katanya merendah diri.
Amira dan Hazama (dua dari kanan) ketika majlis pelancaran single baharu masing-masing di Bukit Bintang baru-baru ini. - Foto Sinar Harian
Amira berkongsi demikian saat ditemui di majlis pra-dengar single terbaharanya, Dalam Sujudku yang berlangsung di Bukit Bintang baru-baru ini. Lagu itu, seperti judulnya, lahir dari tempat paling dalam; ruang sujud, ruang pasrah, ruang syukur.
Mungkin bukan semua cita-cita menjadi nyata pada saat kita mahu tetapi rezeki akan sampai pada waktunya.
Itulah yang sedang Amira usahakan hari ini. Sebuah impian yang lama terkubur diam, kini mula disusun perlahan. Sebuah showcase solo, untuk pertama kali dalam kerjayanya. Kali ini, bukan hanya dengan semangat sendiri tetapi dibantu oleh mereka yang memahami.
“Setakat ini masih terlalu awal untuk berkongsi, tetapi showcase ini nanti akan dilaksanakan oleh Fattah Amin Management.
“Saya memang sudah lama merancang untuk mengadakan showcase tetapi tidak yakin, saya takut tiada yang hadir. Bila Fattah tahu, dia yang cadang untuk realisasikan impian ini, kebetulan Fattah dan pasukannya ada pengalaman buat showcase sebegini,” kongsinya lagi.
Rapatnya hubungan Amira dengan Fattah sudah lama menjadi usikan. Dari gimik ke layar, dari panggilan ‘rakan sekerja’ kepada soal yang lebih peribadi.
Namun, Amira tetap berdiri pada garis yang dia pilih sendiri menjaga ruang profesional, dan tidak memberi ruang untuk gosip melampau berakar.
Hubungan baik Amira dan Fattah bukan lagi rahsia. - Foto Sinar Harian
“Fattah antara kawan lelaki yang rapat tetapi setakat itulah cerita saya. Cuma saya rasa perkongsian saya setakat ini kerana itu yang terbaik untuk semua pihak.
“Saya rasa tidak ada apa-apa yang lebih-lebih ingin saya kongsikan setakat ini sebab sekadar itu begitulah ceritanya. Doakan yang baik-baik,” jelasnya.
Dalam pada itu, selepas sekian lama tidak muncul sebagai suara latar drama, lagu Dalam Sujudku membawa semula nama Amira ke ruang dengar khalayak. Walaupun lagu itu bukan baharu, tularnya drama Dia Bukan Syurga menjadi asbab ia kembali hidup.
“Saya terkejut penerimaan lagu ini dan tidak nafikan menumpang tempias drama yang sedang tular. Sudah lama lagu saya tidak menjadi runut bunyi drama, jadi kali ini, saya kira ini rezeki juga.
“Bila lagu ini diterima, saya bersyukur sangat. Ikutkan saya memang suka lagu berentak begini, lagu galau. Sebelum ini saya risau juga kalau orang tidak ingat saya sebagai penyanyi.
“Ikutkan keutamaan saya lebih kepada nyanyian berbanding lakonan dan pengacaraan. Bagi saya kalau mahu jadi penyanyi yang relevan, perlulah ada karya yang berkualiti,” luahnya.
Azam
Seperti sujud yang menjadi tempat mengadu, permulaan tahun baharu Islam ini menjadi ruang untuk Amira memohon dan membina semula dirinya, bukan sebagai selebriti, tetapi sebagai insan biasa yang mahu memberi.
“Setiap kali tahun baru saya harapkan untuk diri saya menjadi orang yang lebih baik, lebih bagus, lebih memberi manfaat.
“Sama juga kerjaya. Setiap kali tahun baru memang ada cita-cita yang baru, visi baru. Macam saya, apa yang saya buat, saya harap perkongsian itu boleh menjadi ikutan.
“Jadi saya kalau boleh memang tidak akan cakap atau kongsikan hantaran yang tidak sesuai dipertonton oleh orang ramai. Saya tentu tidak baik tetapi saya harap apa yang saya kongsikan dapat memberi manfaat pada orang lain,” katanya menutup perbualan. - Sinar Harian
#Amira Othman #Fattah Amin #penyanyi #hiburan