Ahmad Al Ghazali yang juga anak lelaki seniman tersohor Indonesia, Ahmad Dhani mengaku dia pernah cuba dicabul oleh gurunya sendiri.

Mendedahkan pengalaman pahit itu, Al Ghazali berkata, kejadian itu berlaku ketika dia sedang tidur di biliknya.

Media Indonesia melaporkan, kejadian itu berlaku, selepas dia dan guru lelaki itu selesai menonton perlawanan bola sepak semasa musim kejohanan World Cup beberapa tahun lalu.

Dedah Al Ghazali, selesai menonton perlawanan itu di televsiyen di awal pagi, dia dan gurunya itu sepakat untuk masuk tidur.

Ketika tidur bersama di katil, Al Ghazali yang juga seorang penyanyi tidak pula terfikir perkara pelik akan berlaku kerana sudah lama mengenali guru peribadinya itu.

Bagaimanapun, sebaik mahu memejamkan mata dan cuba untuk tidur, guru berkenaan, kata Al Ghazali, melakukan perkara tidak senonoh.

Guru berkenaan, ujar Al Ghazali, secara tiba-tiba membelai seluruh tubuhnya

“Saya mula merasakan sesuatu yang tidak kena, tapi cuba berdiam diri mahu melihat sejauh mana keberaniannya sehinggalah dia cuba melakukan tindakan di luar batas menyebabkan saya lantas menolak tangannya dan menempiknya,” dedah Al Ghazali.

Pengakuan Al Ghazali itu dibuatnya ketika dia menjadi tetamu undangan dalam program bual bicara Derry Sulaiman and Sahabat yang ditayangkan di YouTube.

Pendedahan itu merupakan reaksi Al Ghazali pada soalan Ustaz Derry Sulaiman yang bertanya apakah dia pernah menerima ucapan cinta daripada kaum lelaki yang meminatinya.

Al Ghazali, 23, merupakan anak kepada Ahmad Dhani dan bekas isterinya, Maia Estianty.

Selain Al Ghazali, Ahmad Dhani dan Maia juga dikurniakan dua orang cahaya mata lain iaitu Dul Jaelani dan Ahmad El Jallaluddin Rumi.

Dalam program itu, Al Ghazali turut membuat pengakuan, dia dan kekasihnya, Alyssa Daguise mempunyai perancangan untuk berkahwin dalam masa terdekat.

Al Ghazali dan kekasihnya, Alyssa Daguise bakal disatukan sebagai suami isteri dalam masa terdekat. - Gambar Instagram Al Ghazali

Al Ghazali memulakan kerjaya nyanyiannya pada 2009 apabila digabungkan dalam kumpulan Lucky Laki bersama dua adiknya, Ahmad El Jallaludin Rumi dan Ahmad Abdul Qodir Jaelani.

Kumpulan ini pernah menempa populariti menerusi lagu Superman.