Anugerah Meletop Era 2019: Di mana Siti Aafiyah?

Madiha Abdullah
Februari 13, 2019 02:00 MYT
Ketiadaan Siti Aafiyah Khalid dalam senarai calon Si Cilik Meletop cetus persoalan. - Instagram @ctdk
Ketiadaan 'bayi nombor satu negara', Siti Aafiyah Khalid, dalam senarai calon top 20 Anugerah Meletop Era 2019 (AME2019), menimbulkan tanda tanya.
Ini kerana, sebelum ini, ada ura-ura yang mengatakan cahaya mata sulung Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa itu tentunya tidak mempunyai masalah untuk menggungguli kategori Si Cilik Meletop.
Menjawab persoalan itu, Penolong Naib Presiden Segmen Kanak-Kanak & Remaja Astro, Marissa Hanafi menjelaskan, calon-calon yang disenarai akhir perlu memenuhi beberapa kriteria tertentu.
"Calon yang disenaraikan dalam kategori itu perlu mempunyai platform dan 'jenama' tersendiri. Kita tidak menilai populariti mereka mengikut populariti ibu bapa.
"Paling penting, mereka perlu mempunyai akaun Instagram rasmi dengan jumlah pengikut yang ramai," kata Marissa.
Tahun lalu, cucu tiri Siti, Arif Jiwa Asyraf, memenangi kategori tersebut.
Marissa berkata demikian dalam sidang media pengumuman calon top 20 dalam 16 kategori untuk Anugerah Meletop Era 2019 di Bukit Jalil, pada Selasa.
AME 2019 bakal berlangsung di Axiata Arena pada 21 April ini.
#AME2019 #Anugerah MeleTOP Era 2019 #Instagram #Marissa Hanafi #Si Cilik Meletop #Siti Aafiyah Khalid #Siti Nurhaliza