HIBURAN

Apa itu 'identiti' dalam neo classical? - Joe Burnmark tolak dakwaan tiru Malmsteen

Raja Hisyam Raja Zaid 20/07/2025 | 09:30 MYT
Joe Burnmark (tengah) menolak dakwaan gaya permainan gitarnya meniru Yngwie Malmsteen, sebaliknya menjelaskan bahawa teknik dan penampilannya adalah hasil pembelajaran mendalam dalam aliran muzik neo classical. -Astro AWANI
GITARIS terkenal tanah air, Joe Burnmark, menafikan dakwaan bahawa gaya permainan dan penampilannya meniru sepenuhnya ikon gitar antarabangsa, Yngwie J. Malmsteen.


Ringkasan AI
  • Joe Burnmark menafikan dakwaan meniru Yngwie Malmsteen dan menjelaskan bahawa gaya serta teknik permainannya adalah hasil pembelajaran mendalam dalam aliran muzik neo classical yang menuntut latihan bertahun-tahun.
  • Beliau menekankan bahawa penampilan dan permainan gitar yang dibawanya adalah satu bentuk watak besar dalam genre instrumental solo, bukan sekadar identiti atau tiruan, sama seperti disiplin dalam sukan yang punya kod dan pakaian tersendiri.
  • Joe terus aktif dalam industri muzik dengan penghasilan single baharu dan kekal dikenali sebagai gitaris instrumental yang membawa aliran muzik berbeza daripada gitaris rock arus perdana, dengan penampilan dan teknik yang unik sejak era 80an.


Joe, atau nama sebenarnya Zulkiflie Abdullah, menyifatkan tuduhan tersebut sebagai salah faham terhadap aliran muzik neo classical yang dibawanya.

Mendekati individu yang telah berkecimpung dalam dunia hiburan tanah air seawal 80an lagi, Joe bercerita secara lebih mendalam ke mana hala tuju muzik dan penampilan serta teknik permainan gitar yang hendak dibawanya.



Bagi Joe, pertikaian terhadap 'identiti' yang diperkatakan itu satu perkara biasa yang berputik daripada kekeliruan dalam memahami genre muzik.

"Bagi saya orang yang berkarya atau gitaris, ia sepatutnya bukanlah dipanggil identiti, tetapi lebih kepada pembawaan kepada watak yang besar.

"Jadi bukan semua orang boleh membawa watak yang besar seperti itu; watak itu sebenarnya perlu melalui fasa proses pembelajarannya.

"Ia harus bermula dengan pembelajaran dan kemudiannya perlu latihan, dan latihan itu bukan setakat satu atau dua tahun," kata Joe ketika ditemui Astro AWANI baru-baru ini.



Menurutnya, Malmsteen merupakan pelopor penting dalam aliran neo classical yang menggabungkan elemen muzik klasikal dengan gitar elektrik moden.

Jelasnya, apa yang dilakukan Malmsteen adalah satu bukaan juzuk dalam tamadun permainan gitar yang menjurus kepada aliran neo classical yang telah melalui fasa perubahan dan revolusi besar dalam teknik permainan dan muzik gitar itu sendiri.

Joe menjadikan pendekatan itu sebagai asas pembelajaran dan penghayatan teknikal sejak awal penglibatannya, sekali gus menyerlahkan watak yang kelihatan ketika ini.

"Jika dalam muzik kita akan belajar piano, biola, dan sebagainya yang asalnya adalah daripada klasikal, dan saya dalam instrumen gitar.

"Dalam pembelajaran untuk klasikal tidak ada elektrik. Selepas itu berlaku perubahan kepada elektrik dan bermula era Jimi Hendrix dengan 'blues'nya, Robert Johnson, B.B King, dan sebagainya pada era 70an.

"Malmsteen kemudiannya di era 80an dengan neo classical, dan neo classical itulah yang saya ambil sebagai pembelajaran," katanya lagi.



Malmsteem, baginya, adalah individu yang bertanggungjawab memecahkan teka-teki hingga mampu mengeluarkan rentak muzik bagi gitar sebegitu rupa, dan ia telah membuka satu juzuk baharu dalam penciptaan melodi muzik iaitu neo classical yang sepenuhnya.

Justeru, katanya lagi, ilmu yang dibawa Malmsteen itulah yang dia pelajari dan bagi sesiapa yang mahukan neo classical itu pastinya wajib melalui proses pendidikan yang sama.

Katanya lagi, umpama sukan yang punya pakaian, kemahiran dan kod tertentu mengikut disiplin masing-masing, begitu juga dengan pemain neo classical yang membawa “watak” tersendiri dalam persembahan instrumental.

"Seperti mana anda dalam bidang sukan misalnya yang mungkin terlibat dengan bola sepak, tentunya anda perlu berpakaian seragam pasukan itu selain teknik permainan bola sepak itu sendiri," jelas Joe.

Justeru, baginya tiada istilah 'copy' atau meniru dalam permainan gitar yang dimaksudkannya itu, tetapi itulah sebenarnya watak dan ilmu yang perlu dimainkan bagi pengikut aliran neo classical.



Joe Burnmark cukup dikenali kalangan peminat aliran rock tanah air sejak era 80an lagi, bukan sahaja dalam kalangan pemain industri, malah mereka yang memang gilakan gitar.

Riff berat dan kecekapan permainan Joe sememangnya tidak dinafikan penggemar gitar tanah air dan telah dibuktikan melalui beberapa album instrumental yang pernah dihasilkan.

Mula berjinak dalam studio rakaman sejak awal usia remaja, Joe telah diberi kepercayaan sebagai sessonist kepada ramai artis dan kumpulan rock tanah air ketika berusia awal 20an lagi.

Antara yang pernah mendapatkan sentuhannya termasuklah kumpulan Naja, May, dan M. Shariff.

Kini, Joe sedang sibuk menyiapkan single terbaharunya bertajuk "Merebut Waktu Yang Ketinggalan" yang dijangka diterbitkan tidak lama lagi.

Penampilan Joe Burnmark sangat berbeza dengan gitaris-gitaris aliran muzik rock yang lain yang lebih dikenali Kid Search, Joe Branko, dan sebagainya kerana berbeza genre.

Menurutnya, keterampilan yang berbeza itu disebabkan perbezaan muzik aliran yang dibawa masing-masing dan mungkin ramai yang terkeliru kerananya.

Joe turut menegaskan bahawa persembahan gitar solo bukan sekadar “main lagu”, tetapi mengangkat karakter muzik yang berbeza daripada gitaris rock arus perdana.

"Saya tak nak dan tak minat serta tiada jiwa nak melayan lagu-lagu.

"Saya bukan band. Saya main gitar saya dan saya suka berpakaian berwatak besar seperti apa yang saya pakai sekarang.

"Itu watak soloist instrumental," katanya menutup perbualan.










#Joe Burnmark #gaya permainan gitar #tiru Yngwie Malmsteen #aliran muzik neo classical