LAWATAN pertama Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Apple Tim Cook ke India diraikan meriah oleh bintang dan pembikin filem Bollywood.

Memetik laporan IndiaTimes.com, penerbit filem terkenal Mukesh Bhatt berkata pihak Apple turut menunjuk minat untuk bekerjasama dengan Bollywood setelah Cook melawat salah sebuah studio di Mumbai.

Lawatan Cook ke negara itu juga adalah sebagai usaha untuk mengembangkan kehadiran syarikat itu di India.

“Orang-orang dari kumpulan Apple berhubung dengan saya, mengatakan bahawa Tim tidak mahu melepaskan peluang melawat Bollywood pada lawatan pertamanya ke India.

“Beliau seolah-olah berminat untuk melihat bagaimana Apple boleh bekerjasama dengan industri ini.

"Ini kerana filem tidak perlu dihasilkan oleh penerbit ternama, malah ia boleh dirakam dengan iPhone,” katanya ke pada portal itu.

Cook turut menghadiri satu majlis yang dihoskan oleh bintang Bollywood Shah Rukh Khan.

Antara yang hadir termasuk Aamir Khan, Amitabh Bachchan, Abhishek Bachchan, Aishwarya Rai Bachchan dan Madhuri Dixit.

Selain itu, ia turut dihadiri oleh bintang tenis Sania Mirza dan komposer A.R. Rahman.

Masing-masing turut berkongsi gambar yang dirakam bersama Cook di Twitter.