STR Fasa 1 2026 Disalurkan Hari Ini – Semak Kelayakan & Jumlah Bantuan Anda!
HIBURAN

AR Rahman mohon maaf selepas kenyataan ‘bias komuniti’ cetus kritikan

Agensi 20/01/2026 | 00:00 MYT
Rahman menekankan bahawa kenyataannya telah disalah tafsir dan beliau berharap keikhlasan permohonannya dapat dirasai. - Gambar fail Bernama
KOMPOSER tersohor India dan pemenang Oscar, AR Rahman, memohon maaf secara terbuka selepas kenyataannya mengenai kemungkinan wujud unsur bias komuniti dalam industri perfileman Hindi mencetuskan kontroversi serta kecaman meluas.

Dalam temu bual bersama BBC Asian Network, Rahman, 59, sebelum ini memberi bayangan bahawa beliau mungkin kehilangan peluang kerja sejak beberapa tahun lalu akibat “perubahan kuasa” dalam industri muzik Bollywood - dan menambah bahawa faktor tersebut mungkin juga mempunyai unsur perbezaan komuniti.

Susulan reaksi keras yang diterima, Rahman memuat naik video di Instagram menjelaskan bahawa muzik sentiasa menjadi salurannya untuk menghubungkan, meraikan serta menghormati budaya India, sambil menegaskan bahawa beliau tidak pernah berniat melukai atau menyinggung mana‑mana pihak.

Rahman turut menekankan bahawa kenyataannya telah disalah tafsir dan beliau berharap keikhlasan permohonannya dapat dirasai.

Dalam video sama, beliau menyebut beberapa inisiatif yang dijalankan demi memajukan muzik India - termasuk kerjasama dengan pemuzik muda Naga, pembentukan string orchestra, pemerkasaan Sunshine Orchestra serta pembangunan Secret Mountain yang digelar kumpulan muzik maya multikultural pertama negara itu.

Kenyataan awal Rahman mengenai dakwaan “bias komuniti” itu mencetuskan tindak balas keras, khususnya daripada kumpulan sayap kanan Hindu, yang menuduh beliau “memburukkan negara” serta menyebarkan persepsi negatif terhadap industri hiburan India.

Rahman menjelaskan, beliau tidak pernah menerima diskriminasi secara langsung, namun sering diberitahu secara “bisik‑bisik” bahawa projek yang sepatutnya melibatkan dirinya akhirnya diberikan kepada komposer lain atas keputusan syarikat muzik.

Situasi tersebut, katanya, berlarutan sehingga beliau menerima serangan dan komen negatif secara berterusan di media sosial, mendorongnya tampil membuat penjelasan.

Dalam mesej sama, Rahman menzahirkan rasa syukur sebagai rakyat India yang menikmati ruang kebebasan kreativiti serta kepelbagaian budaya dan berjanji untuk terus menghasilkan muzik yang “menghormati masa lalu, meraikan masa kini dan memberi inspirasi kepada masa depan.”

Beliau turut berkata, niatnya sentiasa untuk mengangkat dan menyatukan masyarakat melalui muzik, bukan mencetuskan perpecahan. - Agensi





#komposer india #AR Rahman #AR Rahman mohon maaf #bias komuniti