SEJAK malam Ahad lalu, nama peserta Big Stage iaitu Ariff Bahran menjadi bualan hangat di media sosial kerana mengundang kemarahan segelintir pihak yang mendakwa dia tidak mengormati kepada penyanyi asal.

Kenyataan yang mengatakan pendatang baharu ini seakan-akan menyindir penyanyi itu dibuat ketika tayangan VT sebelum dia naik ke pentas untuk menyanyikan lagu Tomok iaitu, Sejarah Mungkin Berulang.

Ariff Bahran menerusi Instagramnya memuat naik status penjelasan mengenai hal tersebut.

Penyanyi, Ariff Bahran

"Untuk pengetahuan semua, sebelum mana-mana sesi rakaman klip video (VT) diadakan, kami akan berbincang terlebih dahulu dengan pihak produksi #BigStage dan jawapan yang dilontarkan ketika soal jawab tersebut adalah sangat bersahaja dan santai.

"Pihak produksi memberikan kami skrip sebagai rujukan dan kami akan olah skrip tersebut dengan cara kami yang tersendiri. Komen yang diberikan tidak berniat untuk menyindir Tomok mahupun kumpulan New Boyz.

"Namun begitu, mungkin ada di antara peminat yang menyalah tafsir jawapan tersebut dan berfikir yang sebaliknya," tulisnya.

Dalam perkongsian sama, Ariff turut mengambil kesempatan memohon maaf.

"Sejujurnya, saya menghormati Tomok sebagai seorang figura yang disegani dalam industri seni tanah air dan saya memohon maaf jika berlakunya sebarang keterlanjuran," luahnya lagi.