[TERKINI] Kes Zayn Rayyan: Ibu Dijatuhkan Hukuman Penjara – Ikuti Perkembangan di Sini!
HIBURAN

Astro hidupkan semula kisah legenda rakyat menerusi siri Hikayat Batu Belah Batu Bertangkup

Gempak 31/10/2025 | 06:30 MYT
Astro akan menayangkan siri Hikayat Batu Belah Batu Bertangkup bermula 14 Nov, dengan olahan moden dan visual berkualiti tinggi untuk menghidupkan semula kisah legenda rakyat. -Foto Gempak
ASTRO tampil mengangkat semula kisah legenda rakyat penuh keajaiban dan misteri menerusi siri terbaharu berjudul Hikayat Batu Belah Batu Bertangkup, yang bakal bersiaran mulai 14 Nov ini.


Ringkasan AI
  • Astro akan menayangkan siri Hikayat Batu Belah Batu Bertangkup bermula 14 Nov, dengan olahan moden dan visual berkualiti tinggi untuk menghidupkan semula kisah legenda rakyat.
  • Siri enam episod ini menampilkan pelakon terkenal seperti Diana Danielle dan Alif Satar, serta mengisahkan pengorbanan Mak Tanjung demi keluarganya dan usaha anak-anaknya membebaskan beliau daripada batu berpuaka.
  • Disiarkan setiap Jumaat jam 9 malam di Astro Ceria dan Astro Prima, serta boleh distrim melalui Astro GO dan sooka.


Siri enam episod arahan Shamyl Othman dan terbitan Red Communications Sdn Bhd ini diolah semula mengikut cita rasa penonton masa kini, dengan sentuhan visual moden yang menjanjikan pengalaman baharu buat penonton.

Menurut Naib Presiden Strategi Kandungan GenNext, Putri Yasmin Megat Zaharuddin, pihaknya mahu menghidupkan semula kisah legenda tempatan supaya kekal relevan dan tidak dilupakan generasi akan datang.

“Di Astro, kami faham betapa pentingnya bagi generasi akan datang untuk terus mengenali dan menghargai budaya serta cerita tempatan kita.

"Menerusi francais ‘Hikayat’, matlamat kami adalah untuk meraikan warisan Malaysia yang kaya dengan kisah dongeng tradisional, dan menghidupkan semula kisah-kisah ini melalui lakonan semula oleh bakat tempatan yang hebat.

"Disampaikan dalam format berkualiti tinggi, diperkaya dengan kesan visual khas dan sarat dengan nilai murni, kisah-kisah ini sesuai untuk tontonan semua peringkat umur.

"Kami komited untuk meneruskan usaha ini dan berharap dapat memperluaskan lagi francais ‘Hikayat’ agar kisah-kisah klasik ini dapat didokumentasikan sebagai khazanah untuk generasi akan datang," katanya.

Siri ini menampilkan barisan pelakon hebat tanah air seperti Diana Danielle, Alif Satar, Bell Ngasri, Elly Mazlein, Niezam Zaidi, Arabella Ellen, Fimie Don serta ramai lagi.

Hikayat Batu Belah Batu Bertangkup mengisahkan nasib malang yang menimpa keluarga Mak Tanjung (lakonan Diana Danielle), apabila suaminya, Pak Kantan (lakonan Alif Satar), terkorban akibat lemas semasa memancing.

Kejadian itu menyebabkan Mak Tanjung dan dua anaknya, Melur (Arabella Ellen) dan Pekan (Fimie Don), hidup dalam kesusahan.

Terdesak, Mak Tanjung mencari berlian berdekatan kawasan Batu Belah Batu Bertangkup untuk menyara hidup, namun batu berpuaka itu menelannya.

Melur dan Pekan kemudian terpaksa meninggalkan kampung dan mengembara untuk mencari jalan membebaskan ibu mereka daripada kuasa jahat batu tersebut.

Siri ini akan bersiaran setiap Jumaat jam 9 malam di Astro Ceria (saluran 611) dan Astro Prima (saluran 105), serta boleh distrim melalui On Demand di Astro GO dan sooka. -Gempak







#Astro #Hikayat Batu Belah Batu Bertangkup #Diana Danielle #Alif Satar