PENYANYI dan pelakon genit, Ayda Jebat mencipta sejarah apabila persembahan mini yang diadakan dalam pesawat diiktiraf sebagai Persembahan Muzik Secara Langsung Di Latitude Paling Tinggi (38,000 kaki dari paras laut) oleh Malaysia Book Of Records pagi tadi.

Persembahan terbabit diadakan dalam pesawat AirAsia AK5106 yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2, Sepang menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, Sabah.

"Alhamdulillah, saya sangat bersyukur dan berbangga menjadi sebahagian daripada rekod yang tercipta ini.

"Syukur semuanya berjalan lancar dan pengalaman baru menyanyi di awan biru takkan dapat saya lupakan," kata Ayda.

Menyanyikan dua lagu sendiri iaitu Pencuri Hati dan Temberang serta lagu Xin Tai Ruan nyanyian asal Richie Ren, Ayda juga gembira peminat berbilang bangsa terhibur dengan persembahan yang diadakan.

"Memandangkan penumpang pesawat terdiri daripada mereka yang berbilang bangsa, saya mengambil peluang untuk menyampaikan lagu penyanyi popular Taiwan, Richie Ren.

"Saya gembira kerana penumpang terhibur dan menyanyi bersama. Saya akan ingat memori ini sampai bila-bila," katanya lagi.

Kejayaan tersebut turut dikongsi oleh band Shadow Puppet Theatre yang turut sama terlibat dalam persembahan tersebut.

Kejayaan tersebut turut dikongsi oleh band Shadow Puppet Theatre yang turut sama terlibat dalam persembahan tersebut.

Shadow Puppet Theatre turut menyampaikan tiga buah lagu untuk menghiburkan penumpang dalam pesawat.

Persembahan mereka turut disaksikan oleh Pengerusi Perbadanan Penggalakan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia), Datuk Ahmad Shah Hussein Tambakau dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Book Of Records, Datuk Michael Tio.

Dengan kerjasama Spritzer dan Travel 360, persembahan tersebut merupakan sebahagian daripada aktiviti sempena Minggu Muzik Malaysia 2019 (MM2019) yang dianjurkan menjelang Tahun Melawat Malaysia 2020 dan turut mendapat sokongan Kementerian Pelancongan.