HIBURAN

Ayumi Hamasaki nafi lahirkan anak Elon Musk

Gempak 07/06/2025 | 11:45 MYT
Hamasaki berkata timbul salah faham dalam kalangan peminat kerana kurang pengetahuan dan cepat mempercayai gosip. - Gambar/ Gempak
BINTANG J Pop terkenal, Ayumi Hamasaki, 46, menafikan spekulasi bahawa anak yang dilahirkannya adalah hasil hubungan bersama Elon Musk, dan menyifatkan dakwaan itu sebagai mengarut.

Spekulasi tersebut tersebar selepas seorang pempengaruh Amerika Syarikat (AS), Ashley St. Clair membuat dakwaan berkenaan. Musk diketahui memiliki ramai anak hasil hubungan bersama ramai wanita.

“Selama ini saya berdiam diri tapi sekarang adalah masa untuk saya bersuara. Bapa kepada anak saya bukan Elon Musk,” tulis Hamasaki di akaun Instagram seperti dilaporkan Tokyo Weekender.

Penyanyi itu berkata timbul salah faham dalam kalangan peminat kerana kurang pengetahuan dan cepat mempercayai gosip.

“Salah tetap salah. Letak ke tepi tentang imej saya. Saya tidak boleh menerima jika anak melihat berita ini di dalam talian. Sebab itu saya terpaksa menafikan berita tidak benar ini,” katanya lagi.

Sebelum ini Hamasaki telah dua kali bercerai. Dia pernah berkahwin dengan suami yang merupakan seorang model dari Australia, Manuel Schwarz dan doktor warga AS, Tyson Bodkin.

Hamasaki kemudian dilaporkan telah melahirkan dua orang anak lelaki pada tahun 2019 dan 2021 tanpa mendedahkan identiti bapa kepada anaknya. - Gempak






#Ayumi Hamasaki #Elon Musk #anak #penyanyi Jepun