HIBURAN
Babyface bakal gegar KL

Anda bersedia untuk lagu-lagu meruntun jiwa bersama komposer dan penyanyi tersohor Babyface dalam konsert di KL pada 30 Oktober ini? - Sumber foto/ IG Babyface
KUALA LUMPUR: Anda sudah bersedia untuk berhibur dengan lagu-lagu yang bergerak di atas jaluran melodi paling galau dan meruntun jiwa bertaraf global?
Penyanyi dan komposer R&B, Babyface bakal menggegarkan pentas Malaysia menerusi sebuah konsert dalam siri jelajah, Babyface: Greatest Hits Concert Live in Kuala Lumpur pada 30 Oktober depan di Idea Live Arena, Petaling Jaya, Selangor.
Babyface, 66, atau nama sebenarnya Kenny Edmonds pernah memenangi pelbagai trofi Anugerah Grammy menerusi beberapa kolaborasi termasuk bersama kumpulan terkenal R&B Amerika Syarikat termasuk Boyz II Men untuk End of The Road.
Dalam satu hantaran di Instagram rasminya, Babyface, membuat pengumuman rasmi berhubung siri jelajah konsert beliau di Jakarta, Manila dan Kuala Lumpur.“Saya teruja untuk kembali ke Asia untuk persembahan dalam siri jelajah kali ini,” katanya.
Babyface turut dikenali sebagai genius muzik yang bertanggungjawab di sebalik kejayaan artis mega Amerika Syarikat (AS) termasuk Lionel Ritchie, Stevie Wonder, Madonna, Bruno Mars, Mariah Carey, Whitney Houston, Phil Collins dan ramai lagi.
Lagu-lagu beliau yang pernah menduduki tangga teratas dalam carta muzik global termasuk, Every Time I Close My Eyes, Whip Appeal dan This is for the Cool in You.
Sepanjang karier muziknya, Babyface pernah menyumbang kepada lebih 800 juta penjualan album dan menghasilkan lebih 125 lagu yang tersenarai dalam carta 10 Hit Tertinggi, selain menerima lebih 83 pencalonan Anugrah Grammy.
Sebelum persembahan di KL, Babyface bakal menghiburkan peminat-peminatnya di Stadium Ancol, Jakarta pada 25 Oktober dan SM Mall, Manila (27 Oktober).
Tiket untuk persembahan di KL akan mula dijual pada 7 Ogos 2025 di golive-asia.com/event-detail/150/Babyface-Greatest-Hits-Concert-Live-in-Kuala-Lumpur
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami