HIBURAN

Belum sedia beraksi di pentas, Eda Ezrin pilih fokus bina semula kerjaya seni

Sinar Harian 23/08/2025 | 07:15 MYT
Eda Ezrin mengakui beliau belum bersedia untuk membuat persembahan di atas pentas. - Foto Sinar Harian
PENYANYI wanita sohor Kelantan, Eda Ezrin atau nama sebenarnya Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail, 30, mengakui beliau masih belum bersedia untuk membuat persembahan di atas pentas.


Ringkasan AI
  • Penyanyi terkenal Kelantan, Eda Ezrin masih belum bersedia untuk membuat persembahan pentas secara langsung, dan memilih untuk kekal di belakang tabir buat masa ini.
  • Penampilan pertamanya selepas dibebaskan dari Penjara Pusat Wilayah Narathiwat, Thailand adalah melalui penggambaran video muzik di Pantai Bisikan Bayu, Pasir Puteh.
  • Eda kini memberi tumpuan kepada membina semula kerjaya seninya, dengan jadual penuh hingga hujung September.


Beliau yang dikenali menerusi lagu ‘Bae Sobar Bae’ berkata, setakat ini beliau masih belum mempunyai keyakinan untuk tampil secara langsung.

“Buat masa ini saya lebih selesa bergerak di belakang tabir,” katanya ketika ditemui pemberita selepas penggambaran video muzik di Pantai Bisikan Bayu di sini pada Sabtu.

Rakaman video muzik itu merupakan penampilan pertama Eda Ezrin di hadapan khalayak selepas dibebaskan daripada tahanan di Penjara Pusat Wilayah Narathiwat, Thailand pada 6 Ogos lalu.

Rakaman video muzik di Pantai Bisikan Bayu, Pasir Puteh itu merupakan penampilan pertama Eda Ezrin di depan khalayak selepas dibebaskan dari tahanan di Penjara Pusat Wilayah Narathiwat, Thailand pada 6 Ogos lalu.

Menurutnya, fokus utama ketika ini adalah untuk membina semula kerjaya seni.

Ujarnya, jadual seninya sudah penuh bermula Jumaat hingga hujung September ini.

Eda Ezrin memberitahu, ia melibatkan ulasan produk kecantikan, restoran, kedai makanan serta rakaman lagu-lagu yang akan dimuat naik di platform YouTube.

Beliau turut meluahkan rasa syukur apabila suami serta empat rakan lain dibebaskan sepenuhnya oleh Mahkamah Narathiwat, Thailand atas pertuduhan memiliki dadah.

Katanya, pembebasan itu secara tidak langsung membersihkan semula nama beliau dan suami daripada tuduhan tersebut.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan Eda Ezrin bersama suami dan empat rakan dibebaskan sepenuhnya dari tahanan Penjara Pusat Wilayah Narathiwat.

Pembebasan mereka dibuat selepas mahkamah menolak permohonan pendakwa raya untuk menyambung tempoh mengemukakan rayuan buat kali keenam pada Rabu.

Difahamkan, Mahkamah Wilayah Narathiwat kini sedang menguruskan surat pembebasan mereka sebelum diserahkan kepada pihak penjara. -- Sinar Harian





#Eda Ezrin #belum bersedia #penyanyi Kelantan #ditahan di Thailand