Pelakon Khaeryll Benjamin Ibrahim atau Benjy dan empat rakannya hari ini dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Majistret Ampang dekat sini daripada pertuduhan memiliki dadah, Jun lepas.

Majistret Ayuni Izzaty Sulaiman membebaskan Benjy, 34, dan empat rakannya iaitu Imran Radzi, 32, pasangan suami isteri Asmanizam Mohamed Akhir, 32, dan Norazila Arzami, 27, serta Afifi Hamidi, 27, selepas pihak pendakwaan menarik balik pertuduhan terhadap mereka.

Hari ini ditetapkan untuk sebutan kes tetapi Timbalan Pendakwa Raya Goh Ai Rene menyatakan pihaknya mendapat arahan daripada ketua pendakwaan untuk menarik balik pertuduhan terhadap kelima-lima tertuduh.

Goh berkata pertuduhan itu ditarik balik kerana seorang lagi rakan mereka, Zain Amir Zainal Khairi yang didakwa atas pertuduhan sama, telah mengaku bersalah sebelum ini dan dikenakan denda RM4,000.

"Sehubungan itu, pihak pendakwaan memohon kelima-lima tertuduh dilepaskan tanpa dibebaskan," katanya.

Peguam Amer Hamzah Arshad pula memohon kesemua tertuduh dilepas dan dibebaskan kerana mereka sudah dikira tidak bersalah.

Mahkamah membenarkan permohonan Amer Hamzah.

Pada 11 Sept lepas, kesemua tertuduh didakwa bersama-sama memiliki beg mengandungi dadah jenis methamphetamine seberat 2.99 gram di Oakleaf Park Condo, Blok C, Persiaran Bukit Jaya, Taman Bukit Jaya, Hulu Kelang pada 11.30 pagi 26 Jun lepas.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM100,000, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, di luar mahkamah Benjy melahirkan rasa gembira dan bersyukur dengan keputusan itu selain turut mengucapkan terima kasih kepada semua yang menyokongnya sepanjang kes itu berjalan.

"Kes ini memberi impak kepada saya kerana disebabkan kes ini saya kehilangan kerja...buat masa sekarang saya ingin menjauhkan diri daripada industri hiburan dan ingin mencari kerja lain," katanya.