Big Stage 2022: Impian Tuah Adzmi terhenti setakat minggu keempat

Asyraf Roslan
Februari 28, 2022 00:50 MYT
Tuah Adzmi terpaksa mengucapkan selamat tinggal apabila mendapat undian terendah daripada penonton. - Foto Astro/Azrul Rafie
IMPIAN Tuah Adzmi untuk mara ke minggu seterusnya terkubur apabila dia diumumkan peserta yang harus meninggalkan pentas Big Stage pada Ahad malam.
Tuah yang menyanyikan lagu "Malam Semakin Dingin" nyanyian asal Afieq Syazwan dan Tajul menduduki tempat tiga terbawah dengan markah 62.6% bersama Tegar Septian (63.2%) dan Megat Rahim (54.4%) untuk minggu yang bertemakan “Go Viral”.
Meskipun markah keseluruhan juri menyebelahi Tuah, namun markah undian peminat tidak berpihak kepadanya.
Aisha yang mempersembahkan lagu "Lathi" mengekalkan takhta di tempat pertama dengan markah (89.6%) diikuti Elica Paujin (85.8%) dan Daniel Chuer (80.2%).
Untuk minggu keempat, kesemua peserta diadili dua juri tetap iaitu Ajai dan Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin ditemani tiga juri jemputan iaitu Datuk Seri Vida (Presiden Netizen), Datuk Syafinaz (Juri Pedas) dan Juara Gegar Vaganza musim ke-8 Alif Satar selaku Juri Juara.
Minggu hadapan, kesemua peserta yang kekal akan membawakan lagu-lagu daripada penyanyi tersohor Siti Nurhaliza.
Program yang dikendalikan Alif Satar dan Elly Mazlein ini bersiaran secara langsung dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) selama lapan minggu pada setiap Ahad, jam 9 malam dan dipancarkan terus menerusi saluran Astro Ria dan Astro Ria HD.
#Big Stage 2022 #BBNU #Tuah Adzmi #Datuk Seri Siti Nurhaliza