KUALA LUMPUR: Nyanyiannya di aplikasi Tiktok bukan sahaja sering mendapat pujian ramai, bahkan, membolehkan Ajoi Zainal mengumpul peminat dari Indonesia.

Namun, itu tidak pula mejadikan peserta Big Stage 2022 itu terlalu selesa dengan apa yang dimiliknya.

Ini adalah kerana, Ajoi memahami di sosial media terutamanya Tiktok, algoritmanya sedikit berbeza yang membuatkan dia berjaya mempunyai peminat dari negara jiran.

Justeru, itu sudah tentu menjadi cabaran besar buatnya memandangkan pemarkahan Big Stage 2022 bukan hanya bergantung kepada pemarkahan juri semata-mata untuk terus kekal dalam pertandingan yang pernah melahirkan juara seperti Sarah Suhairi, Han Byul dan Azzam Sham itu.

“Saya tidak boleh terlalu selesa dan kerana itu saya perlu memenangi hati mereka (juri) bukan sahaja untuk minggu demi minggu, tetapi juga hari demi hari supaya kekal menjadi relevan,” katanya yang ditemui selepas sidang media Big Stage 2022 di sini, pada Rabu.

Dalam masa sama, Ajoi yang pernah menyertai program All Together Now Malaysia (ATNM) itu akan memanfaatkan peluang ini untuk menonjolkan sisi lainnya sebagai seorang penyanyi.

Jika di pentas All Together Now Malaysia, Ajoi hanya berpeluang menyanyi sebanyak dua kali sahaja, namun, pada kesempatan di Big Stage, dia berhasrat untuk memperlihatkan kepelbagaiannya dalam bidang nyanyian.

“Ajoi akan menyanyikan pelbagai jenis genre sepanjang Big Stage 2022 nanti, bahkan (selama ini) tiada siapa yang pernah tengok Ajoi menari, jadi itu juga (menari) yang akan Ajoi lakukan,” kata Ajoi berkongsi hasratnya.

Ditanya mengenai persaingan yang akan dihadapi, secara jujur Ajoi berpendapat, Aisha Retno dijangka menjadi antara peserta yang bakal memberi tentangan hebat kepadanya sepanjang di pentas Big Stage 2022 kelak.

Selain Ajoi dan Aisha, antara peserta lain yang turut menempatkan kedudukan di Big Stage 2022 ialah Lia Aziz, Yasmin Aziz, Tuah Adzmi, Megat Rahim dan bintang dari Indonesia, Tegar Septian yang pernah popular dengan lagu Aku Yang Dulu.

Big Stage 2022 menawarkan hadiah wang tunai RM100,000 kepada juara manakala pemenang tempat kedua dan ketiga pula masing-masing akan memenangi RM50,000 dan RM25,000.

Program terbitan Astro itu akan dikendalikan oleh pasangan pengacara Alif Satar dan Sherry Al-Hadad.
Big Stage 2022 akan bersiaran secara langsung selama lapan minggu dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada setiap hari Ahad, pukul 9 malam mulai 6 Februari ini