HIBURAN
Big Stage Alpha: Syafinaz dedah sebab beri Imuniti X kepada Afiq Sky, singkir Allan Andresn
Syafinaz menyatakan cabaran terbesar dalam BSA bukan sekadar menonjolkan diri secara individu, tetapi juga untuk membina sebuah kumpulan harmoni yang boleh menang bersama-sama. - Gempak
KETUA juri Big Stage Alpha (BSA), Datuk Syafinaz Selamat memberikan sebab dia mengambil keputusan untuk menyelamatkan Afiq Sky dengan menggunakan Imuniti X pada minggu suku akhir.
Ringkasan AI
- Datuk Syafinaz Selamat menggunakan Imuniti X untuk selamatkan Afiq Sky: Ketua juri Big Stage Alpha mengambil keputusan tersebut kerana Afiq menunjukkan semangat kerjasama yang baik dalam persembahan berkumpulan.
- Allan Andersn disingkirkan atas faktor prestasi: Juri berpakat menyingkirkan Allan kerana prestasi kurang memberangsangkan dalam persembahan berkumpulan dan kesukaran menyesuaikan diri dengan ahli kumpulan.
- Awienit tidak menerima Imuniti X akibat prestasi merosot: Syafinaz tidak memilih untuk menyelamatkan Awienit kerana prestasinya semakin menurun sejak awal pertandingan sehingga minggu suku akhir.
Jelas Syafinaz, keputusan itu dibuat selepas dia bersama dua lagi juri tetap Edry Abdul Halim dan Hael Husaini mencapai kata sepakat untuk menyingkirkan Allan Andersn atas faktor prestasi dalam persembahan berkumpulan.
“Kenapa saya dan juri-juri yang lain berpakat menyingkirkan Allan Andersn adalah kerana kita melihat persembahan berkumpulan. Saya lihat dari minggu ke minggu kerap menyatakan setiap peserta perlu bekerja keras untuk kumpulan bukan untuk diri sendiri.
“Dari minggu ke minggu, kami memerhati Allan. Setiap kali dalam kumpulan nampak dia agak kekok menyesuaikan diri dan juga untuk pick up sama dengan berkumpulan. We see he’s try but still tak boleh lagi,” katanya kepada Gempak.
Dalam pada itu, Syafinaz juga mengakui persembahan Allan dengan Afiq Sky mempunyai perbezaan yang cukup ketara kerana Afiq menunjukkan semangat kerjasama dan ‘chemistry’ yang baik dalam persembahan berkumpulan meskipun persembahan solonya masih perlu diperbaiki.
“Kalau kita tengok Afiq memang bila menyanyi solo dia ada sedikit kesukaran tapi setiap minggu kita nampak ada peningkatan.
“Tapi dalam persembahan berkumpulan, dia sangat ‘gel’ dengan kumpulan dan beri kerjasama yang kuat. Itu yang kami cari. Bukan hanya penyanyi terbaik tetapi peserta yang boleh menyumbang dalam pasukan,” jelasnya.
Pada masa sama, ketua juri itu turut menyentuh tentang prestasi Awienit yang juga berada di kedudukan bahaya pada beberapa minggu lalu.
Namun kata Syafinaz, dia tidak memilih untuk menggunakan imuniti X terhadap Awient kerana bimbang dengan prestasinya yang semakin merosot dari awal pertandingan sehingga minggu suku akhir ini.
“Pada awalnya, saya sendiri rasa saya memang suka persembahan dia sebab kita nampak dia boleh gel dengan ahli kumpulan yang lain tetapi Aweinit makin lama makin merundum prestasi dia.
“Itu menyebabkan saya agak takut untuk menggunakan imuniti X untuk dia. Lepas sahaja tamat persembahan, saya akan berjumpa para peserta di belakang pentas. Saya nampak dia mencuba tapi saya tak nampak dia punya kesamaan dengan peserta lain,” ulasnya.
Bagaimanapun, Syafinaz tetap menyatakan cabaran terbesar dalam BSA bukan sekadar menonjolkan diri secara individu, tetapi juga untuk membina sebuah kumpulan harmoni yang boleh menang bersama-sama.
“Misi kami adalah untuk membentuk enam peserta terakhir yang boleh berfungsi sebagai sebuah kumpulan. Bukan sekadar cari satu juara solo,” tegasnya.
Big Stage Alpha yang dihoskan oleh Elly Mazlein dan Rina Nose bersiaran secara langsung dari Shah Alam Royal Theater selama lapan minggu.
Big Stage Alpha pada setiap Ahad jam 9 malam di Astro Ria (Saluran 104) dan turut distrim melalui Astro GO dan sooka. -- Gempak