Big Stage buka gelanggang untuk peserta serantau, termasuk BBNU Korea Selatan

Asyraf Roslan
Ogos 7, 2019 00:00 MYT
Barisan peserta Big Stage musim kedua bergambar selepas majlis sidang media yang diadakan di Nicsmann 1940s By Lewre. Astro GEMPAK
Program realiti hiburan Big Stage, yang sebelum ini melahirkan penyanyi Sarah Suhairi, kini kembali untuk musim kedua.
Kali ini, ia tampil berbeza kerana pihak produksi membawakan peserta-peserta berbakat bukan sahaja dari Malaysia, malah dari Indonesia, Brunei, Thailand dan juga Korea Selatan.
Pengurus saluran Astro Ria, Emarina Mohd Kamal berkata, fenomena yang berlaku pada musim pertama membuatkan pihak pengurusan Astro bersedia mengembangkan jenama Malaysia ke peringkat antarabangsa.
"Sebenarnya kita sudah lama inginkan program seperti Akademi Fantasia (AF) atau Gegar Vaganza (GV) melangkah lebih jauh luar dari Malaysia.
"Tetapi dengan Big Stage, apa yang sudah jadi tahun lepas seperti persembahan Sarah Suhairi yang mendapat perhatian masyarakat Korea dan Blackpink, berserta reaksi video yang mereka lakukan, kami merasakan kita sudah bersedia untuk bergerak ke peringkat yang lebih jauh.
"Jadi mengapa tidak kita tembusi pasaran luar negara dan dalam masa sama kita hendak pamerkan bakat-bakat Malaysia ke luar negara," katanya selepas majlis sidang media Big Stage yang diadakan di Nicsmann 1940s By Lewre, The Starling Mall, di sini.
Penyanyi tersohor negara Datuk Seri Siti Nurhaliza juga kembali menjadi juri tetap di samping dua penyanyi dari Indonesia iaitu Judika dan Cakra Khan.
Ini merupakan senarai 12 peserta yang akan memeriahkan pentas Big Stage musim kedua:
Adzrin - Malaysia
Aziz Harun - Brunei
Han Byul - Korea Selatan
Irfan Haris - Malaysia
Kucaimars - Malaysia
Santesh - Malaysia
Chaleeda - Thailand
Dinda Permata - Indonesia
Fieya Julia - Malaysia
Neeta - Malaysia
Sheryl Shazwanie - Malaysia
Syada Amzah - Malaysia
Program yang mengangkat bakat baru dikenali dengan jolokan 'budak baru nak up’ (BBNU) ini akan diacarakan Alif Satar dan Sherry Al Hadad, mula ditayangkan secara langsung di Astro Ria dan Astro Ria HD pada 18 Ogos.
Anda juga boleh menyaksikannya di laman web www.bigstage.gempak.com
#bakat baru #Big Stage #Brunei #Cakra Khan #Dominasi BBNU #Indonesia #Judika #Korea Selatan #Malaysia #musim kedua #Siti Nurhaliza #Thailand