HIBURAN

Bintang filem Korea Selatan, Ahn Sung-ki meninggal dunia pada usia 74 tahun

Agensi 05/01/2026 | 02:30 MYT
Dilahirkan pada 1952 di Daegu, Ahn memulakan kerjaya sebagai pelakon kanak-kanak menerusi filem The Twilight Train pada 1957. - Gambar fail AP
SEOUL: Pelakon terkenal Korea Selatan, Ahn Sung-ki, yang digelar ‘Pelakon Kebangsaan’, meninggal dunia pada Isnin (5 Jan) pada usia 74 tahun selepas bertahun berjuang melawan kanser darah.

Berita pemergian Ahn disahkan oleh agensinya, Artist Company, dan Hospital Universiti Soonchunhyang yang berpangkalan di Seoul.

Dilahirkan pada 1952 di Daegu, Ahn memulakan kerjaya sebagai pelakon kanak-kanak menerusi filem The Twilight Train pada 1957.

Beliau muncul dalam kira-kira 70 filem sebelum meninggalkan industri untuk menjalani kehidupan biasa.

Pada 1970, Ahn melanjutkan pengajian di Universiti Hankuk dalam jurusan Bahasa Vietnam.

Walaupun menamatkan pengajian dengan cemerlang, beliau gagal mendapat pekerjaan di syarikat besar, dipercayai kerana jurusan tersebut dianggap tidak relevan selepas kemenangan komunis dalam Perang Vietnam pada 1975.

Selepas beberapa tahun menganggur, Ahn kembali ke dunia lakonan pada 1977.

Namanya melonjak pada 1980 menerusi watak utama dalam filem Good, Windy Days arahan Lee Jang-ho, yang mengisahkan cabaran golongan pekerja luar bandar ketika Korea melalui era pembangunan pesat.

Filem itu melayakkan Ahn meraih anugerah Pelakon Baru Terbaik di Grand Bell Awards – setaraf Oscar di Korea.

Sepanjang era 1980-an dan 1990-an, Ahn membintangi pelbagai filem box-office dan karya yang mendapat pujian kritikal, menjadikannya antara pelakon paling popular Korea.

Antara watak ikoniknya termasuk sami Buddha dalam Mandara (1981), pengemis dalam Whale Hunting (1984), veteran Perang Vietnam dalam White Badge (1992), pegawai polis korup dalam Two Cops (1993), pembunuh dalam No Where To Hide (1999), jurulatih pasukan khas dalam Silmido (2003) dan pengurus artis dalam Radio Star (2006).

Sepanjang kerjayanya, Ahn meraih lebih 20 trofi utama termasuk lima kali Anugerah Pelakon Terbaik Grand Bell - rekod yang belum dipecahkan mana-mana pelakon Korea.

Beliau dikenali sebagai selebriti yang rendah hati, berintegriti dan berorientasikan keluarga, bebas daripada kontroversi besar.

Beberapa tinjauan awam memilih Ahn sebagai pelakon paling disayangi rakyat Korea, sekali gus mengukuhkan gelaran ‘Pelakon Kebangsaan.’

Dalam satu temu bual, Ahn mengakui sukar memilih filem kegemarannya, namun menyifatkan wataknya sebagai pengurus artis yang berdedikasi dalam Radio Star paling mencerminkan dirinya di dunia nyata. - Agensi

#pelakon Korea Selatan #Ahn Sung-ki #meninggal dunia #kanser darah