HIBURAN

Bintang filem Superman, Terence Stamp meninggal dunia pada usia 87 tahun

Agensi 17/08/2025 | 21:30 MYT
Aktor Terence Stamp yang terkenal dengan watak jahat General Zod dalam filem blockbuster Superman (1978) dan Superman II (1980), meninggal dunia pada Ahad. - Gambar fail Reuters
LONDON: Dunia perfileman kehilangan seorang lagi bintang legenda apabila aktor British, Terence Stamp, yang terkenal dengan watak jahat General Zod dalam filem blockbuster Superman (1978) dan Superman II (1980), meninggal dunia pada usia 87 tahun.

Keluarganya dalam satu kenyataan memaklumkan, Stamp menghembuskan nafas terakhir pada pagi Ahad.

“Beliau meninggalkan legasi karya yang luar biasa, bukan sahaja sebagai pelakon malah sebagai penulis, yang akan terus memberi inspirasi kepada ramai orang untuk tahun-tahun mendatang. Kami memohon ruang privasi pada saat sedih ini,” menurut kenyataan keluarga.

Stamp yang lahir di East End, London pada 1938, merupakan anak kepada seorang pekerja bot tunda.

Mendiang melalui zaman perang dunia kedua sebelum memulakan kerjaya dalam bidang pengiklanan, kemudian menerima biasiswa ke sekolah drama.

Popular dengan ketampanan dan gaya fesyennya, Stamp pernah bergandingan dengan pelakon Julie Christie dalam Far From the Madding Crowd (1967) dan menjalin hubungan bersama model terkenal Jean Shrimpton.

Stamp juga pernah menjadi inspirasi jurufoto tersohor, David Bailey.

Selain filem Superman, Stamp turut mencipta nama melalui pelbagai watak penting termasuk dalam Theorem (1968), A Season in Hell (1971) serta The Adventures of Priscilla, Queen of the Desert (1994), di mana beliau melakonkan watak seorang wanita transgender.

Kerjayanya merentasi dekad, termasuk penampilan dalam Valkyrie bersama Tom Cruise (2008), The Adjustment Bureau bersama Matt Damon (2011), selain beberapa karya arahan Tim Burton.

Stamp pernah dipertimbangkan untuk menggalas watak James Bond selepas Sean Connery, namun gagal.

Beliau kemudian berpindah ke Itali, berkolaborasi dengan pengarah legenda Federico Fellini sebelum berundur seketika dari dunia glamor untuk mendalami yoga di India.

Namun, kemunculan semula sebagai General Zod menjadikan namanya kekal terpahat dalam sejarah perfileman dunia. - Agensi



#Terence Stamp #Terence Stamp meninggal dunia #pelakon Superman #aktor british