ENTERTAINMENT

Blackpink bakal gegar Stadium Nasional Singapura Nov ini

Yasmin Natasha 27/05/2025 | 07:15 MYT
Kumpulan sensasi K-pop Blackpink sah akan kembali ke Singapura untuk dua malam penuh gemilang pada 29 dan 30 November ini. -Instagram blackpinkofficial
KUMPULAN sensasi K-pop Blackpink akan kembali ke Singapura untuk dua malam penuh gemilang pada 29 dan 30 November ini.


Ringkasan AI
  • Blackpink akan mengadakan konsert dua malam di Stadium Nasional Singapura pada 29 dan 30 November 2025 sebagai sebahagian daripada jelajah Deadline Tour.
  • Tiga pusingan jualan awal tiket akan bermula 10 Jun untuk ahli Blink (Weverse), 11 Jun untuk pemegang kad Visa, dan 12 Jun untuk ahli Changi Rewards, sebelum jualan umum dibuka pada 13 Jun.
  • Singapura adalah salah satu destinasi dalam jelajah Asia Blackpink, selain Kaohsiung, Bangkok, Jakarta, Manila dan Hong Kong.


Penganjur Live Nation Singapore dalam pengumuman rasmi hari ini mengesahkan bahawa Blackpink akan mengadakan konsert di Kota Singa itu sebagai sebahagian daripada siri jelajah terbaharu mereka, Deadline Tour.

Konsert tersebut akan berlangsung di Stadium Nasional Singapura, dengan tiga pusingan jualan awal tiket diumumkan untuk peminat.

Peringkat pertama akan dibuka untuk pemegang keahlian Blink menerusi platform peminat Weverse, yang akan berlangsung pada 10 Jun dari jam 11 pagi hingga 11.59 malam.

Pemegang kad Visa pula boleh mula bersiap sedia pada 11 Jun, dengan dua slot jualan awal iaitu pada 11 pagi hingga 2 petang khas untuk pemegang kad Visa Infinite, dan 4 petang hingga 11.59 malam terbuka kepada semua pemegang kad Visa.

Peringkat terakhir jualan awal adalah untuk ahli Changi Rewards, yang akan berlangsung pada 12 Jun, dari 11 pagi hingga 11.59 malam.

Untuk layak, ahli perlu berbelanja minimum S$200 dalam satu resit di kedai terpilih di Lapangan Terbang Changi (kecuali Jewel), atau menerusi iShopChangi dari 28 Mei hingga 9 Jun.

Hanya 10,000 pembeli pertama akan menerima kod akses jualan awal. Jualan tiket umum pula akan dibuka pada 13 Jun ini.

Selain Singapura, Deadline Tour Blackpink akan turut singgah ke beberapa bandar besar Asia seperti Kaohsiung, Bangkok, Jakarta, Manila, dan Hong Kong.







#BLACKPINK #Singapura #jelajah Deadline Tour #Stadium Nasional Singapura #Blink