HIBURAN

Bolot enam anugerah, Babah dinobat Filem Terbaik FFM34

Bernama 01/11/2025 | 23:00 MYT
Kejayaan Babah pada Festival Filem Malaysia ke-34 malam tadi melayakkan filem berkenaan menerima insentif Dana Kandungan Kreatif (DKK) bernilai RM1 juta dan trofi.
KUALA LUMPUR: Filem "Babah" dinobatkan sebagai Filem Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-34 (FFM34) yang berlangsung di Auditorium Seri Angkasa, Angkasapuri Kota Media, di sini, malam tadi.

Kejayaan itu melayakkan filem berkenaan menerima insentif Dana Kandungan Kreatif (DKK) bernilai RM1 juta dan trofi.

Kemenangan itu sekali gus menundukkan empat lagi finalis dalam kategori sama iaitu Soloz: Game of Live, Takluk: Lahad Datu, Reversi serta Blood Brothers: Bara Naga.

Anugerah utama itu disampaikan oleh Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil dengan diiringi Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching; Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa; Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Hans Isaac serta Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin.

Bukan itu sahaja, pelakon utama filem berkenaan, Qi Razali dan Sweet Qismina masing-masing berjaya membawa pulang trofi Pelakon Lelaki serta Wanita Terbaik.

Selain itu, Babah turut memenangi trofi lakon layar terbaik, Cerita Asal Terbaik dan pengarahnya, Mohd Shah Faizul Ibrahim pula menggondol trofi Pengarah Harapan.

Sementara itu, filem yang turut memberi saingan sengit iaitu Blood Brothers: Bara Naga juga memenangi enam kategori iaitu Anugerah Khas Filem Box Office, Lagu Tema Terbaik, Skor Muzik Asal Terbaik, Sinematografi Terbaik, Aksi dan Lagak Ngeri Terbaik dan Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik.

Dua filem iaitu Ejen Ali The Movie 2 dan Takluk: Lahad Datu menerima Anugerah Khas Juri manakala produksi FFM34 menganugerahkan pelakon veteran, Datuk Ahmad Tarmimi Siregar trofi Khas Sepanjang Zaman.

Bertemakan "Karya Kreatif, Sinema Dinamik", setiap pemenang FFM34 menerima wang tunai RM5,000 dan trofi, manakala pemenang Anugerah Khas menerima RM10,000 dan trofi.

Berikut senarai pemenang FFM34:

Filem Terbaik: Babah (Nads Media Entertainment Sdn Bhd)

Pengarah Harapan: Shah Faizal (Babah)

Cerita Asal Terbaik: Nadia Nadzri (Babah)

Lakon Layar Terbaik: Wan Rafiq (Babah)

Pelakon Lelaki Terbaik: Qi Razali (Babah)

Pelakon Wanita Terbaik: Sweet Qismina (Babah)

Pelakon Pembantu Wanita Terbaik: Ellie Suriaty (Telaga Suriram)

Pelakon Lelaki Harapan: Amir Ahnaf (Kahar: Kapla High Council)

Pelakon Wanita Harapan: Michelle Lungan (Tegkang)

Pelakon Kanak-Kanak Terbaik: Puteri Rafasya (Telaga Suriram)

Anugerah Khas Juri 1: Ejen Ali The Movie 2

Anugerah Khas Juri 2: Takluk: Lahad Datu

Anugerah Khas Karyawan: Hassan Muthalib

Anugerah Khas Sepanjang Zaman: Datuk Ahmad Tarmimi Siregar

Aksi dan Lagak Ngeri Terbaik: Defenderz Action Team (Blood Brothers: Bara Naga)

Sinematografi Terbaik: Nicholas Chin (Blood Brothers: Bara Naga)

Penataan Seni Terbaik: Wan Zulkifli Wan Salleh (Kulit Wayang)

Penyunting Terbaik: Soloz: Game Of Life

Lagu Tema Terbaik: Bara Jiwa (Blood Brothers: Bara Naga)

Skor Muzik Asal Terbaik: Soloz: Game Of Life

Poster Terbaik: Arst (Tegkang)

Rekaan Kostum/Busana Terbaik: Farah Syaliq (Mencari Ramlee)

Tatarias/Solekan Terbaik: Ella Sandera (Takluk: Lahad Datu

Filem Pendek Terbaik: Rastech Worldwide Sdn Bhd (Saranghae)

Dokumentari Terbaik: Media Prima Berhad (Rindu Tak Berpenghujung)

-- BERNAMA




#FFM34 #Festival Filem Malaysia #filem Babah #Dana Kandungan Kreatif