'Bukan ancaman besar' - Da'i Wan tak kisah diserang peminat Dua Lipa dalam isu LGBT

Madiha Abdullah
April 9, 2019 01:22 MYT
Apa sahaja bentuk tentangan tidak akan menjejaskan kekuatan umat Islam, kata Da'i Wan. - Instagram
PENDAKWAH bebas, Wan Dazrin Wan Din, tidak menganggap 'serangan' peminat penyanyi antarabangsa, Dua Lipa, selepas dia membuat teguran terbuka terhadap pendirian artis itu berkenaan LGBT, sebagai satu ancaman besar.
Sebaliknya dia yang lebih dikenali sebagai Da'i Wan, berpendapat apa sahaja bentuk tentangan tidak akan menjejaskan kekuatan umat Islam.
"Kekuatan kami kerana kami berdiri pada landasan yang betul, landasan yang menuntut hak fitrah manusia yang asal bukan yang di luar tabi’i," tulis Da'i Wan menerusi satu kemas kini di Instagram.
Terlebih dahulu sebelum itu, Da'i Wan memuat naik status menegur Lipa di akaun Twitternya, selepas penyanyi lagu New Rules itu dengan lantang menyatakan pendirian menyokong usaha mengiktiraf LGBT.
"Anda patut malu, Dua Lipa.
"Anda menyokong sesuatu yang tidak betul. Anda menentang sesuatu yang bukan kebiasaan untuk manusia. Anda menyokong sesuatu yang berkemungkinan memberi kesan dan memusnahkan keturunan kami.
"Hak asasi manusia hanya alasan yang digunakan oleh mereka yang tidak mahu belajar mengawal nafsu sendiri," kata Da'i Wan.
#ancaman besar #Da'i Wan #Dua Lipa #fitrah manusia #LGBT #luar tabi i #penyanyi antarabangsa #teguran terbuka #Wan Dazrin Wan Din