"Bukan mahu berahsia, tapi..." - Raqib bakal nikah Tasha Manshar 8 September ini

Gempak
September 6, 2018 00:23 MYT
Raqib dan Tasha mengikat tali pertunangan pada 24 Disember, 2017.
SELEPAS dua tahun menjalinkan hubungan cinta, penyanyi Raqib Majid akui bakal menikahi tunangnya, Tasha Manshahar pada 8 September ini.
Bukan sengaja mahu meninggalkan teka-teki kepada peminat mengenai hubungan mereka tetapi Raqib nama sebenarnya Fahrur Raqib Abdul Majid, 28 tahun, akui dia ada alasan tersendiri.
"Sebenarnya perkenalan kami bermula ketika dia menghadiri kelas agama dan membaca al-Quran ibu saya di Melaka.
"Sejak itu saya mula terpikat dengan sifatnya yang baik hati dan dia juga disenangi oleh ibu bapa saya.
"Bukan mahu berahsia, tapi saya tidak mahu menghebohkannya selagi kami belum ada perancangan sebenar untuk berkahwin.
"Alhamdulilah selepas dua tahun ia dipermudahkan dan harap segalanya berjalan lancar sehingga kami selamat diijabkabulkan," katanya kepada Gempak.
Raqib dan Tasha, 26 tahun, yang popular dengan lagu Terima Kasih Cinta itu mengikat tali pertunangan pada 24 Disember tahun lalu.
Mengulas mengenai pernikahannya yang bakal berlangsung tidak lama lagi, Raqib akui agak gementar untuk memikul tanggungjawab sebagai suami.
"Saya akui memang berdebar untuk menanti saaat kami diijabkabulkan.
"Tanggungjawab sebagai suami sangat besar dan saya berharap ia akan dipermudahkan," luahnya.
Raqib merupakan bintang kelahiran Akademi Fantasia 9 (AF 9) yang kini bertugas sebagai penyampai radio Zayan.
#Akademi Fantasia #penyampai radio #penyanyi #perkahwinan #pernikahan #pertunangan #Raqib Majid #Tasha Manshahar #Zayan