Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 – Trump & Pemimpin Serantau Berhimpun – Sorotan, Video & Analisis – Ikuti Di Sini
HIBURAN

'Bukan sekadar jumpscare hantu' - Zul Ariffin ulas keistimewaan filem Malam Terlarang

Gempak 26/10/2025 | 11:43 MYT
Zul Ariffin bersyukur treler filem seram Malam Terlarang lakonannya mencecah lebih sejuta tontonan, membuktikan minat penonton terhadap genre seram tempatan yang berkualiti. -Foto Gempak
PELAKON Zul Ariffin, meluahkan rasa syukur apabila treler filem seram terbaharu lakonannya, Malam Terlarang, sudah mencecah lebih sejuta tontonan di media sosial.


Ringkasan AI
  • Zul Ariffin bersyukur treler filem seram Malam Terlarang lakonannya mencecah lebih sejuta tontonan, membuktikan minat penonton terhadap genre seram tempatan yang berkualiti.
  • Filem ini menampilkan elemen seram, misteri dan emosi dengan penekanan terhadap sinematografi, diarahkan oleh Nurhanisham Muhammad dan dibintangi oleh Shasha Abedul, Sofea Jane, Sabri Yunus, Normah Damanhuri, Haneesya Hanee dan Hasnul Rahmat.
  • Malam Terlarang mengisahkan Mawar yang menyiasat gangguan misteri selepas tragedi keluarga, sambil berdepan konflik politik dan kuasa gelap yang menghantui keluarganya.


Menurut Zul, kejayaan awal itu membuktikan penonton kini semakin teruja menantikan karya bergenre seram tempatan yang bukan sekadar menakutkan, tetapi turut sarat dengan jalan cerita yang kuat.

“Alhamdulillah. Saya rasa topiknya menarik saya tak boleh dedahkan tapi memang menarik.

“Dari segi horror, kita tahu semua orang teruja nak tengok babak-babak hantu dan jumpscare, tapi sekarang penonton juga mula melihat storyline, bukan hanya nak tengok hantu muncul semata-mata,” katanya kepada Gempak.

Tambah pelakon filem Sheriff itu lagi, filem ini bukan hanya menampilkan elemen seram semata-mata, sebaliknya turut memberi penekanan terhadap mutu sinematografi yang dikatakan antara tarikan utama Malam Terlarang.

“Semua filem luar semakin lama semakin tinggi tahapnya, jadi dari segi sinematografi, pengarah kami, Labu, memang hasilkan kerja yang tip-top,” ujar Zul.

Diarahkan oleh Nurhanisham Muhammad (Labu), Malam Terlarang turut memperlihatkan gandingan pelakon hebat seperti Shasha Abedul sebagai Mawar, Zul Ariffin (Omar), Sofea Jane (Sarimah), Sabri Yunus (Mokhtar), Normah Damanhuri (Mak Noni), Haneesya Hanee (Pamakbul) dan Hasnul Rahmat (Haji Wahid).


Sinopsis

Malam Terlarang mengisahkan Mawar, gadis berusia 18 tahun yang terpaksa menangguhkan impiannya sebagai wartawan demi menjaga ibunya, Sarimah, dengan bantuan kakak tirinya, Safar.

Namun segalanya berubah selepas kematian mengejut dalam keluarga mereka membawa kepada gangguan makhluk misteri yang memaksa Mawar menyiasat rahsia di sebalik tragedi itu.

Dalam masa sama, bapanya Omar sibuk dengan kempen politik bagi menggulingkan ketua partinya, Haji Wahid.

Ketika penyiasatan semakin dalam, Mawar berdepan kejadian paranormal mengerikan yang dipandang remeh oleh ahli keluarganya.

Akhirnya, dia dan bapanya perlu berhadapan musuh sebenar untuk membebaskan diri daripada kuasa gelap yang menghantui hidup mereka.

Malam Terlarang menjanjikan gabungan elemen seram, misteri dan emosi, yang bakal membuatkan penonton tidak senang duduk sepanjang tayangannya di pawagam tidak lama lagi. -Gempak




#Zul Ariffin #treler filem seram #Malam Terlarang #Nurhanisham Muhammad