Cameron Diaz dikurniakan anak perempuan pada usia 47 tahun

Isabelle Leong
Januari 4, 2020 01:12 MYT
Cameron Diaz dan Benji Madden yang jarang berkongsi kehidupan peribadi berkata, mereka tidak akan memuat naik sebarang gambar atau maklumat mengenai cahaya mata mereka. - instagram@benjaminmadden
PELAKON terkenal Hollywood, Cameron Diaz, dikurniakan bayi perempuan yang diberikan nama Raddix Madden.
Berita gembira tersebut dikongsi menerusi laman Instagram peribadi Diaz, 47, dan suaminya Benji Madden, 40.
“Selamat tahun baru daripada keluarga Madden! Kami sangat gembira dan bersyukur untuk memulakan dekad baharu ini dengan mengumumkan kelahiran anak perempuan kami, Raddix Madden.
“Raddix telah memikat hati kami dan melengkapkan keluarga kami,” kata mereka.
Raddix merupakan anak sulung buat pasangan tersebut yang mengikat tali perkahwinan sejak 2015.
Pasangan yang jarang berkongsi kehidupan peribadi berkata, mereka tidak akan memuat naik sebarang gambar atau maklumat mengenai cahaya mata mereka.
“Kami sangat gembira untuk berkongsi berita ini tetapi kami ingin melindungi privasi anak kecil kami.
“Oleh itu, kami tidak akan memuat naik gambar atau berkongsi maklumat lanjut.
“Apa yang boleh kami katakan adalah dia sangat comel,” tambah mereka.
Memetik laporan Daily Mail, bekas bintang Charlie’s Angels tersebut kelihatan langsing dengan mengenakan jean ‘high-waisted’ pada 22 November lalu, sekali gus membuktikan bahawa pasangan itu berkemungkinan menggunakan bantuan ibu pengganti ataupun mengambil anak angkat.
#bayi perempuan #Benji Madden #Cameron Diaz #Charlie s Angels #ibu pengganti #Raddix Madden