Cedera ditetak, bapa Emma Maembong dirawat di ICU

Gempak
Ogos 12, 2016 00:05 MYT
Emma memohon agar semua pihak mendoakan keselamatan dan pemulihan ayahnya. - Foto Astro Gempak

BAPA kepada pelakon Emma Maembong yang cedera ditetak pada petang Khamis kini sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Ismail Maembong, 68, dikatakan mengalami kecederaan serius akibat disamun dan ditetak di bangunan Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA).
Menurut laporan BH Online, Ismail mengalami kecederaan di bahagian kepala, jari dan siku.
“Kami masih menanti status terkini ayah yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Sebaik saja mendapat kepastian, kami akan membuat laporan polis.
“Bapa saya sedang dirawat, saya meminta semua pihak mendoakan yang terbaik dan mohon berikan ruang kepada kami sekeluarga,” kata Emma.
Menurut sebuah laporan, sumber polis percaya suspek menggunakan parang untuk mencederakan Ismail, namun mangsa dapat menyelamatkan diri dan meminta bantuan jiran.
Kedua-dua suspek terbabit dipercayai menaiki sebuah motosikal untuk memasuki ke kawasan bangunan GAPENA di Jalan Bukit Petaling, sebelum menyamun mangsa.
Berikutan kejadian tersebut, Ismail kehilangan komputer riba, dompet dan telefon bimbit.

#Ayah Emma Maembong ditetak #disamun #GAPENA #Ismail Maembong