ENTERTAINMENT

Celine Dion mahu hadir Eurovision 2025 di Switzerland

Bernama 14/05/2025 | 08:55 MYT
Dion tidak lagi mengadakan jelajah konsert akibat masalah kesihatan, tetapi mencuri perhatian pada Sukan Olimpik Paris 2024 dengan persembahan penuh emosi. - Gambar/ Reuters
BASEL: Penyanyi terkenal Kanada Celine Dion menyatakan hasratnya untuk hadir ke Pertandingan Lagu Eurovision 2025 di Switzerland, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Ringkasan AI
  • Celine Dion menyatakan hasrat untuk hadir ke Pertandingan Lagu Eurovision 2025 di Switzerland, dan penyiar Switzerland SRG SSR mengesahkan mereka masih berhubung rapat dengannya.
  • Dion tampil dalam rakaman video pada separuh akhir pertama, menyatakan Switzerland sentiasa mempunyai tempat istimewa di hatinya dan berterima kasih atas peluang yang diberikan untuk memenangi Eurovision pada 1988.
  • Dion tidak lagi mengadakan jelajah konsert akibat masalah kesihatan berkaitan sindrom orang kaku, tetapi mencuri perhatian pada Sukan Olimpik Paris 2024 dengan persembahan penuh emosi.

Dion, 57, yang menjuarai pertandingan itu di Dublin pada 1988 menerusi lagu Ne Partez Pas Sans Moi, berkata beliau, "tidak mahu apa-apa lagi selain bersama anda" di Basel.
Penyiar Switzerland, SRG SSR mengesahkan pada Selasa bahawa mereka masih "berhubung rapat" dengan Dion di tengah spekulasi beliau akan membuat persembahan pada malam akhir pertandingan.
Pada separuh akhir pertama Selasa lalu, Dion tampil menerusi rakaman video dan menyatakan bahawa Switzerland "sentiasa mempunyai tempat istimewa di hati saya", dalam ucapan yang disampaikan dalam bahasa Perancis dan Inggeris.
"Switzerland ialah negara yang mempercayai saya dan memberi peluang untuk saya menyertai sesuatu yang luar biasa - memenangi Eurovision pada 1988. Ia merupakan detik yang mengubah hidup saya dan saya amat berterima kasih kepada semua yang menyokong saya," katanya.
Beliau turut menyatakan hasrat untuk kembali ke pentas pada malam akhir Sabtu ini, bergantung kepada perbincangan dengan penganjur memandangkan keadaan kesihatannya.
Sebelum itu, lagu Ne Partez Pas Sans Moi dipersembahkan oleh beberapa bintang Eurovision terdahulu termasuk Silvester Belt dan Iolanda.
Sejak kemenangan Dion, Switzerland tidak pernah menang sehinggalah Nemo muncul juara tahun lalu di Malmo menerusi lagu The Code.
Dion tidak lagi mengadakan jelajah konsert sejak beberapa tahun lalu akibat masalah kesihatan berkaitan sindrom orang kaku.
Namun, beliau mencuri perhatian pada Sukan Olimpik Paris 2024 apabila membuat kemunculan dengan persembahan penuh emosi, mendendangkan lagu klasik Hymne A L'Amour nyanyian Edith Piaf di Menara Eiffel.
Terdahulu pada Selasa, SRG SSR berkata: "Buat masa ini tiada perubahan berkaitan Celine Dion - kami masih berhubung rapat dengannya."
-- BERNAMA
#Celine Dion #Eurovision 2025 #Switzerland #penyakit