KUALA LUMPUR: Abang Allahyarham Siti Sarah Raisuddin, Ahmad Firdous Raissuddin yang ditidurkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) ekoran keadaan kesihatannya yang menurun akibat jangkitan COVID-19 mula sedarkan diri. 

Perkara itu maklumkan suami Allahyarham Siti Sarah, Shuib selepas membuat panggilan video bersama bapa mertuanya, Raisuddin Hamzah. 

"Allahuakbar! Allah Maha Besar! Syukur sudah buka mata! Terima kasih pada yang mendoakan tetapi kita sambung lagi doa untuk yang lain yang sedang bertarung nyawa, kita nak semua orang kembali sihat, balik jumpa keluarga. Amin. Syukur Ya Allah," katanya dalam entri terbaharu di laman sosial Instagramnya pada Jumaat. 



BACA: COVID-19: Abang Allahyarham Siti Sarah dimasukkan ke ICU

Ahmad Firdous ditidurkan sejak pukul 5 pagi semalam bagi membolehkan paru-parunya berehat. 

Beliau dan isterinya positif COVID-19 sementara dua anak pasangan itu dilaporkan bebas daripada jangkitan virus berkenaan.

BACA: Siti Sarah meninggal dunia

Pada Isnin lalu, Siti Sarah yang juga penyanyi popular negara meninggal dunia akibat COVID-19 selepas 48 jam ditidurkan di ICU, Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Kuala Lumpur.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada pukul 5.13 pagi Isnin dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Pusu, Gombak sekitar pukul 1.20 tengah hari.

Tiga hari sebelum pemergiannya, Siti Sarah melahirkan anak keempat melalui pembedahan yang diberi nama Ayash Affan.

Selain Shuib dan Ayash Affan, Allahyarham Siti Sarah turut meninggalkan tiga cahaya mata, Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, dan Ariq Matin, 6.